Semua Orang Layak Dimaafkan? Bekas Pesalah Pedofilia Diberi Peluang Kedua Untuk Teruskan Pengajian Di UKM

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang memberikan pendidikan tinggi kepada pihak yang ingin menyambung pelajaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memilih untuk memberi peluang kepada bekas pesalah pedofilia iaitu Nur Fitri Azmeer Nordin untuk berbuat demikian.

Terdahulu, Nur Fitri yang juga merupakan genius Matematik itu pernah disabitkan kesalahan memiliki bahan lucah melibatkan kanak-kanak di London pada 2015. Dia bagaimanapun sudah menjalani proses pemulihan.

Sewaktu ditanya mengenai sentimen masyarakat berkenaan perkara ini, Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengatakan bahawa kerajaan juga perlu bersikap adil terhadap semua pihak memandangkan Nur Fitri sudah pun menjalani hukumannya sebelum ini.

“Setiap sesuatu ada dua sisi. Dia sudah pun menjalani hukuman. Adakah dia perlu dihukum seumur hidup? Satu aspek lain adalah sama ada dia sudah menjalani proses pemulihan,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Wan Azizah menekankan aspek kemas kini senarai daftar pesalah jenayah seksual kanak-kanak.

“Memang kita adakan registry untuk mereka yang telah didapati bersalah namun kita akan lebih komprehensif sebab kita sekarang ini ada kutipan (rekod) hanya dari 2017 dan Fitri adalah (kes) 2015 dan (kesnya) di luar negara.”

“Kita akan melihat pada kelompongan (senarai daftar) dan mengemas kini kerana yang penting adalah kebajikan dan keselamatan kanak-kanak. Kita sudah memulakan (proses) kemas kini senarai itu,” katanya.

Untuk rekod, pada Mei 2015, Nur Fitri yang ketika itu sedang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Menurut laporan Astro Awani, dia didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah pornografi kanak-kanak termasuklah 601 imej ‘Kategori A’ yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Rata-rata masyarakat menyuarakan kebimbangan apabila Nur Fitri diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di UKM selepas mendaftar untuk mengikuti pengajian itu sejak 2016.

Pada tahun 2011, Nur Fitri pernah melibatkan diri dalam Kejuaraan Olimpik Matematik di Amsterdam, Belanda.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca