“Semoga Diberi Jalan Yang Lapang Buat Ashraf Di Sana.” – Bunga Citra Lestari

Penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan arwah suaminya, Ashraf Sinclair yang menemui ajal pada dinihari Selasa di kediaman mereka yang bertempat di Jakarta.

Ditemui sebaik sahaja upacara pengebumian di tanah perkuburan San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Bunga yang tidak banyak berkata sejak menerima berita duka itu akhirnya tampil membuka mulut.

“Untuk teman-teman semuanya, saya cuma mahu minta doa untuk Ashraf, semoga diberi jalan yang lapang dan diberikan yang terbaik untuk Ashraf di sana.”

Pada masa yang sama, Bunga yang berusia 36 tahun itu juga meminta agar orang ramai mendoakan anak mereka, Noah Sinclair yang kelihatan sugul malah beberapa kali menangis teresak-esak semasa jenazah bapa kesayangannya dikebumi.

“Saya minta doa untuk Ashraf, doa untuk Noah. Itu saja yang boleh saya katakan hari ini. Terima kasih buat teman-teman semua. I hope everything will get better soon,” katanya.

Memetik laporan media tempatan, Bunga yang berbiras kepada penyanyi Yuna itu turut menzahirkan penghargaan kepada petugas media.

“Mudah-mudahan Ashraf dapat banyak doa daripada rakan media yang hadir. Terima kasih kerana selama ini sudah memberikan laporan pemberitaan yang baik mengenai saya dan Ashraf,” ucap Bunga lagi.

Dalam pada itu, kisah cinta pasangan yang sudah melayari bahtera rumah tangga selama 11 tahun itu kembali disoroti para peminat.

Antara yang mencuri perhatian ramai adalah kata-kata Bunga dalam sebuah wawancara sebuah program pada akhir tahun lepas yang dimuat naik di saluran YouTube InsertLive. Dalam video tersebut, Bunga menyatakan yang dirinya tidak pernah membayangkan hidupnya tanpa Ashraf di sisi.

“Sampai sekarang aku tidak pernah bisa membayangkan hidupku tanpa Ashraf,” ujar Bunga. 

“Sampai sekarang pandangan aku masih seperti itu. Jadi mudah-mudahan kita berdua terus diberi kekuatan untuk bisa terus mencintai satu sama lain.”

Team Lejen Digital mengucapkan salam takziah buat Bunga Citra Lestari dan seluruh keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Untuk baca artikel lain mengenai pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:
Astro Awani

Artikel Lain Untuk Di Baca