Seludup Masuk Drama Squid Game Ke Korea Utara, Lelaki Ini Dijatuhi Hukuman Maut

Gara-gara menyeludup masuk dan menjual salinan drama bersiri Squid Game, seorang lelaki warga Korea Utara dijatuhi hukuman maut oleh skuad penembak negara berkenaan.

Memetik laporan Radio Free Asia (RFA), lelaki berkenaan dikatakan menyeludup masuk salinan drama bersiri yang dibintangi Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Jung Hoyeon dan Wi Ha Jun itu dari negara China dengan menggunakan pemacu pena (pendrive). Selepas itu, dia kemudiannya menjual pemacu pena yang mengandungi drama bersiri itu kepada orang ramai.

Sumber: Instagram Wi Ha Jun

Aktiviti penyeludupan itu dipercayai terbongkar selepas pihak berkuasa menangkap tujuh orang pelajar sekolah menengah menonton drama kegilaan ramai itu.

Pelajar yang membeli pendrive tersebut dipercayai menerima hukuman penjara seumur hidup. Enam orang pelajar lagi yang menonton drama itu telah dijatuhi hukuman kerja berat selama lima tahun. Guru-guru dan pentadbir sekolah berkenaan telah dipecat dan dibuang kerja untuk bekerja di lombong terpencil.

Dalam pada itu, seorang sumber yang bekerja dalam penguatkuasaan undang-undang di wilayah Hamgyong Utara telah memberitahu RFA, “Ini semua bermula minggu lalu apabila seorang pelajar sekolah menengah telah membeli pemacu pena yang mengandungi drama Korea Selatan Squid Game secara rahsia dan menontonnya bersama salah seorang kawan baiknya di dalam kelas.

Rakannya itu kemudian memberitahu beberapa orang pelajar lain yang kemudiannya tertarik sebelum berkongsi pemacu pena itu sesama mereka.”

Sumber: Instagram Hoyeon Jung (Chung)

Penahanan tujuh pelajar itu menandakan kali pertama kerajaan menggunakan undang-undang yang baru diluluskan mengenai akta Penghapusan Pemikiran dan Budaya Penentangan (Elimination of Reactionary Thought and Culture) dalam kes yang melibatkan remaja bawah umur.

Undang-undang yang diisytiharkan tahun lepas itu membawa hukuman maut maksimum atas kesalahan menonton, menyimpan atau mengedar sebarang jenis media dari negara kapitalis khususnya Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Squid Game, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca