Seludup Basikal Brompton Dan Motosikal Harley Davidson, CEO Garuda Indonesia Dilucutkan Jawatan

Pernah dengar berita mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mc Donald’s yang dipecat gara-gara mengadakan hubungan intim bersama pekerjanya? Khabar angin terkini pula mendedahkan perlucutan jawatan seorang ketua eksekutif syarikat penerbangan Garuda Indonesia.

Berita ini telah disahkan sendiri oleh Menteri Perusahaan Milik Republik Indonesia, Erick Thohir.

Kehilangan jawatan oleh pegawai tersebut dikatakan berpunca daripada tindakannya yang telah menyeludup beberapa barangan semasa penerbangan A330-990neo pada bulan lalu.

Pihak Garuda Indonesia pada awalnya dilaporkan begitu teruja menerima penyerahan kapal terbang jenis A330-990 neo pertama mereka.

Maka, tidak hairanlah sekiranya terdapat beberapa para pegawai eksekutif yang menggunakan pesawat ini untuk terbang ke destinasi tertentu. Secara rasminya, selepas penerbangan yang digunakan, pesawat tersebut akan dibawa pulang semula ke pangkuan Garuda.

Namun, yang memeranjatkan adalah apabila Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Ari Askhara tidak pulang dengan tangan kosong. Sebaliknya membawa sekali motosikal Harley Davidson dan dua basikal lipat Brompton.

Kewujudan dua-dua barangan mewah itu disedari oleh pihak berkuasa sejak dari awal kepulangan pesawat tersebut ke tanah air. Namun, aktiviti tersebut dibongkarkan kepada pihak berwajib selepas penyiasatan terperinci dijalankan.

Hasil siasatan mendapati bahawa Ketua Pegawai Eksekutif berkenaan telah mengarahkan kakitangan syarikat itu untuk mencari motosikal klasik pada 2018 yang lalu.

Kemudian, transaksi pembayaran dilakukan pada bulan April 2019 menerusi pemindahan bank ke akaun pengurus kewangan Garuda Indonesia di Amsterdam. Masalah mula timbul apabila beliau gagal mengisytiharkan harta tersebut semata-mata mengelakkan dirinya daripada dikenakan cukai import.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menyatakan bahawa siasatan tidak akan berakhir begitu sahaja. Mereka akan meneliti lebih dalam lagi untuk melihat sekiranya terdapat beberapa pihak lain yang terlibat dalam kasus tersebut.

Askhara telah berada di Garuda Indonesia sejak September 2018 selepas Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini dipecat.

Artikel Lain Untuk Di Baca