#SelfieGigi: Tampalan Merkuri Pada Gigi Didakwa Boleh Bawa Maut, Ini Penjelasan Dr. Irma

Baru-baru ini, Dr. Irma Shida telah berkongsi kesan merkuri pada gigi dan kulit menerusi bebenang di akaun Twitter beliau.

Berdasarkan perkongsian tersebut, pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu telah menerima soalan daripada salah seorang pesakit yang berbunyi, “Boleh Dr. tolong buangkan tampalan berwarna perak/hitam dekat gigi dan gantikan dengan yang lain? Saya baca dekat Google tampalan itu boleh bawa maut.”

Berikut kami kongsikan respons daripada Dr. Irma sendiri sebagai seorang doktor gigi dan juga penjelasan beliau tentang merkuri pada gigi dan kulit menerusi artikel ini:

Merkuri pada gigi

Untuk pengetahuan anda, tampalan yang dimaksudkan pesakit tersebut ialah amalgam. Amalgam ini sangat efektif kerana doktor gigi telah menggunakan bahan tampalan gigi tersebut selama lebih dari 150 tahun.

Buat anda yang masih keliru, amalgam ialah campuran logam yang terdiri daripada perak, merkuri, timah dan tembaga serta kuantiti kecil zink. Ramai orang sukakan amalgam kerana ia tetap bertahan di dalam mulut tanpa hilang kekuatan walaupun di bawah daya kunyahan.

Menurut Dr. Irma, semua artikel diterbitkan setakat ini tidak mempunyai apa-apa kajian yang boleh menyokong dakwaan bahawa tampalan amalgam ialah satu ancaman.

Banyak kajian yang diterbitkan sebaliknya dilakukan ke atas keselamatan penggunaan amalgam. Pada tahun 2009, United States Food and Drug Administration (FDA) melihat ke dalam kajian ini dan memutuskan bahawa amalgam selamat digunakan ke atas orang dewasa dan kanak-kanak melebihi usia enam tahun.

Untuk pengetahuan anda, merkuri ditambah ke dalam amalgam untuk melembutkan bahan gabungan aloi tersebut supaya ia boleh ditekan ke dalam lubang gigi.

Namun, apa yang ramai orang tidak tahu ialah merkuri akan naik semula ke permukaan tampalan apabila semua aloi sudah menjadi padat. Doktor gigi akan buang semua merkuri tersebut jadi apa yang tinggal pada gigi anda ialah campuran aloi semata-mata.

Walaupun begitu, orang ramai sebenarnya risau tentang merkuri yang tertinggal pada tampalan kerana mereka risau bahan kimia tersebut boleh meruap dengan masa.

Sumber: Instagram @drirmashida

Untuk menjawab soalan tersebut, pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi ini menjelaskan kuantiti bahan kimia itu tidak banyak untuk menyebabkan keracunan merkuri.

Hal ini demikian kerana bahan kimia ini akan mula jadi berbahaya apabila ia melebihi paras normal kewujudan merkuri pada hidupan dan makanan seharian. Sekiranya merkuri itu masih belum melebihi paras normal, anda tidak perlu risau kerana ia tidak akan menyebabkan keracunan.

Berbalik kepada soalan sama ada pesakit perlu tukar amalgam dengan yang berwarna gigi, Dr. Irma sendiri tidak menyarankan pertukaran tersebut sekiranya gigi dan tampalan anda masih berada dalam keadaan baik. Ini kerana anda akan membuang sedikit struktur gigi sihat apabila amalgam dibuang.

Dengan perkembangan teknologi dan bahan tampalan pergigian semakin moden, beliau juga sudah lama tidak menggunakan amalgam sebagai bahan tampalan gigi pesakit.

Dr. Irma menjelaskan bahawa beliau lebih selesa menggunakan tampalan berwarna gigi yang tahan daya kunyahan sebagai tampalan gigi belakang pesakit.

Merkuri pada kulit

Sumber: Allure

Dalam pada itu, keracunan merkuri boleh berlaku sekiranya ia dikenakan pada badan dalam kuantiti yang tinggi dan secara berterusan. Jadi, Dr. Irma berkata bahawa anda perlu lebih berhati-hati dalam memilih apa yang diletakkan dekat badan.

Anda perlu lebih berhati-hati dan semak dulu apa bahan yang digunakan sekiranya produk-produk kosmetik tersebut menjanjikan kulit putih mulus dalam waktu singkat.

Sementara itu, ibu mengandung perlu lebih berhati-hati kerana merkuri boleh meresap ke dalam kulit dan sekali gus masuk saluran darah serta menyeberangi plasenta bayi. Kesannya, ia boleh menyebabkan kecacatan janin. Kulit kita pun akan rosak untuk tempoh masa lama kerana pendedahan berpanjangan kepada merkuri yang banyak.

Secara ringkasnya, merkuri di dalam amalgam memang sedikit sangat jadi anda tidak perlu risau kerana tampalan tersebut tidak akan membawa maut.

Sumber: Twitter @drirmashida

Sekiranya anda tinggal di Johor Bahru dan mempunyai apa-apa soalan berkenaan penjagaan gigi, bolehlah datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi:

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-1 petang, 2 petang-4 petang)

Nombor telefon: 018-900 4980

Website: drirma.com

Untuk lebih banyak tips kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmaariandi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kecantikan dan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca