#SelfieGigi: Kepentingan Pakai ‘Retainer’ Selepas Buka Pendakap Gigi, Ini Penjelasan Dr. Irma

Baru-baru ini, Dr. Irma Shida telah memuat naik satu bebenang di laman Twitter beliau tentang kepentingan untuk pesakit memakai retainer selepas membuka pendakap gigi. Menurut beliau lagi, pemakaian retainer adalah sama penting dengan pendakap gigi itu sendiri.

Kami akan kongsikan sebab kenapa pemakaian retainer itu sama penting dengan pendakap gigi sepertimana yang dikongsikan oleh pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi tersebut menerusi artikel ini:

Kepentingan pemakaian retainer

Menurut Dr. Irma, retainer akan kekalkan kedudukan gigi yang telah digerakkan secara ortodontik di tempat baharu dengan sempurna. Walau bagaimanapun, kedudukan gigi akan beralih apabila anda tidak memakai retainer secara konsisten.

Secara tidak langsung, rawatan ortodontik yang anda buat selama dua sehingga tiga tahun boleh dikatakan sia-sia sahaja apabila kedudukan gigi sudah beralih.

Sumber: Instagram @drirmashida

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu menjelaskan bahawa retainer akan memastikan fiber dan ligamen pemegang gigi di kedudukan baharu terbentuk dengan sempurna.

Tempoh pemakaian retainer kebiasaannya adalah antara dua sehingga tiga tahun. Namun, ada juga pesakit yang dinasihatkan untuk memakai retainer untuk tempoh yang lebih lama.

Jenis retainer

1. Hawley retainer

Sumber: Pinterest

Hawley retainer adalah yang paling klasik. Untuk Hawley retainer, ia mempunyai lelangit plastik dan dawai yang dibentuk untuk memegang gigi di posisi baharu.

2. Plastic retainer/ Essix retainer

Essix retainer pula adalah plastik nipis yang dibentuk mengikut bentuk gigi pesakit dengan menggunakan sistem pemanasan dan sedutan vakum. Retainer plastik lebih senang dan selesa dipakai kerana ia cuma melitupi permukaan gigi sahaja.

Untuk pengetahuan, anda perlu keluarkan Hawley dan Essix retainer daripada mulut setiap kali mahu memberus gigi, makan serta minum. Anda perlu bersihkan retainer tersebut dengan lembut menggunakan sabun.

Dalam pada itu, pengasas Dr. Irma Skincare itu turut mengingatkan anda untuk rendam retainer tersebut dalam air setiap kali tidak pakai. Hal ini demikian kerana retainer tersebut akan rapuh sekiranya anda tidak buat seperti itu.

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu turut mengingatkan anda untuk menyimpan retainer di dalam bekas khas yang disediakan. Jangan simpan dan gumpal di dalam tisu.

Berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang doktor gigi, Dr. Irma telah menerima kunjungan daripada banyak pesakit yang menyimpan retainer mereka dalam tisu apabila pergi ke kedai makan.

Tuah bagaimanapun tidak menyebelahi pesakit tersebut apabila pekerja kedai makan itu membuang retainer berkenaan kerana mereka sangkakan tisu itu adalah sampah biasa. Kesannya, pesakit perlu keluarkan wang untuk buat retainer baharu.

Dalam pada itu, anda tidak boleh rendam Hawley dengan Essix dalam air panas kerana bentuk retainer tersebut akan berubah. Anda tidak boleh pakai kedua-dua retainer ini waktu makan kerana ia dikhuatiri akan retak sebab daya kunyah.

Struktur bahan retainer akan lemah apabila ia jatuh. Atas sebab itu, anda perlu jaga retainer dengan baik-baik supaya ia tidak jatuh.

3. Permanent retainer/ Composite and wire retainer

Retainer ini menggunakan dawai yang diletakkan pada permukaan dalam gigi mengikut lengkungan gigi tersebut. Ia dilekatkan dengan tampalan komposit warna gigi.

Berbeza dengan Hawley dan Essix, anda tidak perlu keluarkan retainer ini ketika makan atau minum. Pesakit hanya perlu membersihkan kawasan retainer dengan teliti kerana tidak mahu plak berkumpul dekat gigi.

Pengasas Dr. Irma Skincare itu turut menekankan kepentingan untuk menjalani pemeriksaan gigi secara berkala setiap enam bulan walaupun pesakit sudah tidak perlu pergi ke klinik lagi untuk mendapatkan rawatan ortodontik.

Untuk anda yang tinggal di Johor Bahru dan mahu membuat rawatan ortodontik atau ada apa-apa soalan pasal penjagaan gigi, bolehlah datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi.

Sumber: Twitter @drirma_ariandi

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-1 petang, 2 petang-4 petang), Jumaat, Sabtu dan cuti umum (Tutup)

Nombor telefon: 018-900 4980

Untuk lebih banyak tips kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmashida.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca