#SelfieGigi: Dr. Irma Kongsi Tips Penjagaan Gigi Dalam Bulan Puasa

Baru-baru ini, Dr. Irma Shida telah memuat naik satu bebenang di laman Twitter beliau tentang penjagaan gigi dalam bulan puasa. Menurut beliau lagi, bau mulut ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang mengawal pemakanan, mengubah waktu makan dan mengamalkan diet tertentu bukan hanya pada mereka yang berpuasa sahaja.

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu menjelaskan cuma mungkin mekanisme bagaimana bau mulut itu terjadi agak berbeza. Kami akan kongsikan tips penjagaan gigi dan mulut ketika berpuasa sepertimana yang dikongsikan oleh Dr. Irma menerusi artikel ini:

Fungsi air liur dalam mulut

Menurut Dr. Irma, air liur mengandungi enzim pencernaan untuk menghadamkan makanan yang telah dikunyah. Selain itu, air liur mengalir dalam kuantiti yang cukup akan berfungsi sebagai pembilas dan pencuci rongga mulut.

Selain itu, ia turut bertindak sebagai buffer untuk meneutralisasikan pH dalam mulut. Untuk pengetahuan anda, Dr. Irma menjelaskan bahawa aliran air liur akan berkurangan apabila kita berpuasa kerana tiada mekanisme mengunyah untuk tempoh masa yang lama.

Memandangkan kita tidak kunyah apa-apa dan kurang bercakap semasa berpuasa kerana letih, mulut dan mukosa mulut akan jadi kering. Kesannya, ph dalam mulut akan jadi lebih berasid.

Sumber: Instagram @drirmaariandi

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu turut menjelaskan bahawa sisa makanan yang tidak dibersihkan dengan sempurna pada gigi akan menjadi sumber makanan bakteria di dalam mulut.

Bakteria tersebut pula akan mengeluarkan volatile sulfur compound yang memberikan bau busuk pada nafas. Bau sulfur adalah seakan-akan bau belerang atau peledak peluru.

Faktor penyumbang bau mulut

1. Juadah waktu berbuka dan sahur

Berbeza dengan masalah mulut kering tadi, makanan yang diambil akan dihadam dan seterusnya proses penghadaman tadi akan menghasilkan gas yang berbau tajam dan kuat dari perut.

Disebabkan kita tidak boleh minum air sepanjang hari apabila sedang berpuasa, bau akibat penghadaman akan jadi agak kuat dan tidak terkawal.

Makanan yang mengandungi banyak bawang putih, durian, petai dan jering akan menghasilkan bau yang kurang enak pada keesokan harinya.

2. Penjagaan gigi yang kurang sempurna

Makanan yang terselit dekat celah gigi akan jadi sumber penumpuan bakteria. Apabila ada banyak bakteria pada gigi, plak pun berbau agak busuk dan ia akan buat gusi membengkak serta berdarah jika dibiarkan terlalu lama.

Menurut Dr. Irma lagi, darah yang bercampur dengan air liur akan menghasilkan bau agak kuat dan meloyakan terutama bila bangun dari tidur.

Apabila berpuasa, baunya akan lebih teruk kerana keadaan air liur yang lebih pekat dari biasa dan aliran air liur yang berkurangan akan membuatkan bau menjadi agak kuat apabila seseorang bercakap dan bernafas.

Cara atasi masalah bau mulut

1. Berus gigi dua kali sehari

Sumber: Healthline

Anda boleh juga gosok gigi tiga kali sehari pada waktu tengah hari apabila mulut berasa tidak selesa dan mula berbau. Untuk mengawal bau mulut, anda perlu flos gigi selepas berbuka dan sahur serta pakai ubat kumur.

2. Pilih berus gigi sesuai

Dr. Irma menyarankan penggunaan berus gigi berbulu lembut, halus dan runcing untuk membersihkan lurah gusi dan celahan gigi dengan sempurna.

Anda perlu menggunakan ubat gigi berfluorida untuk mengelakkan gigi berlubang. Selain itu, anda boleh juga cari ubat gigi yang mempunyai bau segar seperti pudina untuk memberi bau harum dalam mulut.

3. Flos gigi

Dalam pada itu, anda perlu flos gigi untuk membersihkan makanan kenyal terselit di celah gigi dan plak yang melekat pada dinding gigi.
Pilihlah flos yang diselaputi lilin supaya ia lebih licin dan mudah dimasukkan di antara celah gigi. Selain itu, ada juga flos yang disalut perisa pudina agar lebih segar.

4. Ubat kumur

Dalam bulan puasa ketika aliran air liur berkurangan dan mulut menjadi kering, anda dinasihatkan untuk memilih ubat kumur tanpa alkohol. Alkohol boleh menyebabkan mukosa mulut menjadi lebih kering.

Selain itu, anda perlu pilih ubat kumur antibakteria yang mempunyai pudina untuk memberi kesegaran nafas dan mulut. Anda turut dinasihatkan untuk berkumur tiga kali sehari supaya mulut kurang berbau.

5. Penjagaan gigi profesional

Ramai yang tidak mahu ke klinik gigi ketika bulan Ramadan kerana takut ibadah puasa mereka akan terganggu. Untuk pengetahuan anda, kaedah pergigian seperti pemeriksaan gigi, rawatan gigi seperti tampalan, cuci gigi, rawatan akar, mengambil gambar x-ray dan suntikan ubat kebas di dalam mulut serta cabutan gigi tidak akan membatalkan puasa.

Jadi, anda boleh melakukan pemeriksaan gigi dan rawatan gigi seperti biasa dalam bulan puasa. Jangan jadikan berpuasa sebagai alasan anda biarkan lubang pada gigi tidak ditampal sehingga ia berubah menjadi lebih parah.

Gigi juga tidak dicuci sehingga berlakunya gingivitis (bengkak gusi) dan periodontitis (penyakit tulang gigi). Jika keadaan gigi terlalu parah, dan gigi terpaksa dicabut, anda masih boleh meneruskan ibadah puasa seperti biasa.

Apa yang anda boleh lakukan dalam kes ini ialah atur janji temu dengan doktor gigi masing-masing di sebelah petang supaya ubat bius masih meninggalkan rasa kebas sehingga waktu berbuka.

Anda boleh mengambil ubat tahan sakit setelah berbuka puasa. Pada waktu yang sama, anda boleh legakan kesakitan tersebut dengan menuam kain direndam dengan air sejuk atau air batu ke kawasan pipi dekat dengan tempat cabutan.

Untuk anda yang tinggal di Johor Bahru dan mahu membuat pemeriksaan dan rawatan gigi, bolehlah datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi.

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-1 tengah hari, 2 petang-4 petang), Jumaat, Sabtu dan cuti umum (Tutup)

Nombor telefon: 018-900 4980

Untuk lebih banyak tips kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmaariandi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca