#SelfieGigi: Dr. Irma Kongsi Sebab Kenapa Rahang Anda Sakit

Pernahkah anda rasa sakit sangat untuk buka mulut apabila bangun tidur dan pipi terasa bengkak? Percaya atau tidak, sakit rahang ini boleh berlaku apabila anda mempunyai tekanan fikiran pada malam sebelumnya.

Baru-baru ini, Dr. Irma Shida telah berkongsi punca rahang anda sakit menerusi sebuah bebenang di akaun Twitter beliau.

Menurut Dr. Irma, semua orang ada sepasang sendi rahang yang berhubung terus dengan tengkorak pada bahagian tulang temporal atau tulang pipi.

Sumber: Mayo Clinic

Dengan adanya sendi rahang, kita boleh buka dan tutup mulut dengan sempurna. Untuk pengetahuan anda, terdapat satu lapisan pemisah sendi rahang dengan tulang temporal yang dikenali sebagai disk artikular. Disk artikular ini yang membantu dan memudahkan pergerakan sendi rahang.

Sumber: Instagram @drirmashida

Terdapat otot, salur darah dan saraf dalam disk artikular itu sendiri yang melengkapi fungsi bahagian sendi tersebut. Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu menjelaskan bahawa masalah kawasan rahang ini bukanlah satu penyakit tetapi ia lebih dikenali dengan gelaran Temporamandibular Joint Pain Disfunction Syndrome (TMJPDS).

Dalam pada itu, kami akan kongsikan tanda-tanda dan bagaimana anda boleh atasi masalah sakit rahang sepertimana yang dikongsikan oleh Dr. Irma menerusi artikel ini:

Masalah TMJPDS

1. Otot

Jika dibandingkan dengan sakit kerana sendi rahang, kebarangkalian untuk anda dapat TMJPDS terjadi kerana masalah otot adalah lebih tinggi. Pesakit akan rasa sakit pada bahagian otot muka. Ia akan buat otot yang terlibat dalam pengunyahan jadi lagi besar.

Selain itu, ia kerap berlaku kepada pesakit yang suka mengunyah pada waktu malam tanpa sedar (bruxism). TMJPDS juga boleh berlaku kepada mereka yang ketap gigi setiap masa atau semasa tertekan (clenching).

Tabiat buruk seperti gigit pensel dan kepit telefon di antara telinga serta bahu semasa berbual juga boleh menyumbang ke arah masalah ini. Tampalan gigi yang tidak sempurna dan tinggi dari gigitan asal pesakit juga boleh menyumbang kepada keadaan TMJPDS.

2. Sendi rahang

Apabila kedudukan sendi berubah atau ia terkeluar dari soketnya, bukaan mulut pesakit mungkin akan jadi terhad. Selain itu, laluan bukaan mulut pesakit akan jadi tidak lurus dan anda dapat dengar bunyi klik pada rahang setiap kali buka dan tutup mulut. Sekiranya anda mahu tahu, TMJPDS boleh dialami di salah satu sendi atau kedua-duanya sekali.

Tanda-tanda TMJPDS

Sumber: Stuff

1. Sakit pada kawasan sendi rahang dan otot pipi apabila terjaga pada waktu malam. Apabila bangun pagi pula, sendi rahang anda akan sakit ketika kunyah dan gigit makanan.

2. Sendi rahang akan terasa sakit ketika mahu bercakap dan menguap.

3. Anda akan rasa sendat dan ketat ketika membuka dan menutup mulut.

4. Rahang akan berbunyi klik apabila digerakkan.

5. Kawasan telinga dekat dengan rahang yang terlibat akan jadi sakit.

6. Sakit kepala dan tengkuk yang tegang.

Lockjaw 

Adakalanya rahang dibuka terlalu luas sewaktu menguap atau ketawa besar. Ia menyebabkan sendi rahang terus terkeluar dari soketnya dan mulut pula tidak dapat ditutup.

Keadaan ini digelar lockjaw dan sendi yang terlibat boleh dimasukkan kembali ke dalam soketnya. Anda hanya perlu menggerak-gerakkan rahang bawah dan memujuknya perlahan-lahan masuk ke dalam soketnya semula.

Ia kadangkala boleh dilakukan oleh pesakit sendiri sekiranya ia pernah berlaku sebelum ini. Sekiranya tidak berjaya, anda boleh pergi ke klinik gigi supaya doktor memposisi semula sendi rahang tersebut ke kedudukan asal.

Cara hilangkan sakit rahang

Sumber: Wise Geek

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan masalah rahang yang disebut di atas bukanlah ancaman kepada kesihatan ataupun tanda-tanda penyakit selagi ia tidak berkait dengan patologi tulang atau tisu lembut di kawasan itu. TMJPDS jarang menjadi satu keadaan yang serius dan selalunya akan sembuh dengan sendirinya.

Dalam kes-kes tertentu, pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu berkata bahawa terdapat beberapa usaha yang boleh dilakukan seperti memperbetulkan permukaan gigitan supaya gigitan pesakit lebih stabil. Doktor gigi anda juga boleh membuat mouthguard untuk mengatasi masalah gigitan kuat dan mengunyah gigi pada waktu malam.

Pek ais boleh melegakan kawasan otot yang bengkak dan begitu juga urutan lembut yang menenangkan. Senaman ringkas boleh diamalkan dengan memastikan bukaan mulut adalah dalam garis lurus dan memastikan sendi tetap di dalam soket dan tidak menggelongsor keluar ketika membuka mulut.

Walaupun ia jarang dilakukan, rawatan ortodontik dan pembedahan sendi boleh dijalankan untuk memulihkan masalah TMJPDS yang lebih serius.

Tekanan ialah perkara utama yang boleh jadi penyebab kepada TMJPDS

Disebabkan ia merupakan perkara utama yang boleh menjadi penyebab kepada TMJPDS, kita perlu belajar menangani tekanan dengan bijak baik dari segi fizikal, emosi dan juga diet.

Pertama sekali, anda perlu dapatkan jadual tidur yang teratur setiap hari. Dengan jadual yang teratur, anda akan tidur dengan lebih nyenyak dan sekali gus dapat menghentikan tabiat mengunyah dan mengetap gigi.

Selain itu, anda perlu makan makanan yang sihat untuk mengelakkan penyakit dan elakkan kafein selepas jam 6 petang untuk tidur malam yang lebih nyenyak.

Seterusnya, anda perlu sentiasa tenangkan hati dan bersikap positif. Anda perlu terima kekurangan dan akui kekalahan diri serta jadikan ia kekuatan untuk bangkit kembali bukan sebagai pembunuh semangat dan jati diri.

Sekiranya anda tinggal di Johor Bahru dan mempunyai apa-apa soalan berkenaan penjagaan gigi, bolehlah datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi:

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-1 petang, 2 petang-4 petang), Jumaat, Sabtu dan cuti umum (tutup)

Nombor telefon: 018-900 4980

Website: drirma.com

Untuk lebih banyak tips kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmaariandi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca