#SelfieGigi: Dr. Irma Kongsi Sebab Kenapa Gigi Anda Retak

Sindrom gigi retak adalah situasi di mana gigi geraham kecil atau besar yang masih hidup/vital mengalami keretakan separa melibatkan dentin dan kadangkala pulpa gigi. Dr. Irma Shida telah memuat naik satu bebenang di laman Twitter beliau yang menjelaskan sebab kenapa gigi anda retak.

Menurut Dr. Irma, ramai orang tidak perasan atau tahu mereka mengalami sindrom gigi retak yang turut dikenali sebagai cracked tooth syndrome (CTS). Untuk pengetahuan anda, gigi retak akan jadi lebih teruk dan serius sekiranya ia tidak dirawat dengan segera.

Ini kerana retak pada gigi boleh menjalar dan seterusnya menyebabkan gigi anda terbelah dua. Dr. Irma turut menyatakan bahawa sebab kenapa beliau berkata sindrom gigi retak selalunya terjadi pada gigi belakang kerana anatomi dan bentuk gigi itu sendiri.

Gigi belakang yang berbonjol dan beralur menyebabkan ia mempunyai titik lemah yang mudah retak sekiranya terkena bebanan kunyahan berlebihan.

Sumber: Instagram @drirmaariandi

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu turut menjelaskan terdapat banyak faktor penyumbang kepada sindrom gigi retak seperti tampalan yang tidak sempurna, pesakit mempunyai titik tinggi penyumbang kepada gigitan tidak sekata (high bite) ataupun gigi yang sama ditampal berulang kali.

Perbezaan gigi retak dan berlubang

Sumber: Rhondium

Pesakit yang mengalami sindrom gigi retak (CTS) selalunya akan rasa sakit gigi yang luar biasa dan berbeza daripada gigi berlubang. Pada mulanya, Dr. Irma menjelaskan bahawa gigi pesakit akan rasa sensitif dengan air sejuk sekiranya retak sangat minor.

Apabila retak mula menjalar, pesakit akan mula rasa sakit apabila tengah makan makanan. Pesakit akan rasa sakit terutamanya jika makanan tersebut mempunyai tekstur campuran lembut dan keras contohnya roti dengan biji kuaci ditabur atasnya. Biasanya pesakit akan mula rasa ngilu apabila mahu gigit makanan.

Ada juga pesakit yang akan lagi rasa sakit apabila mereka melepaskan gigitan kerana perubahan tekanan dan bendalir. Semakin hampir retak dengan pulpa gigi atau saraf, pesakit akan lagi rasa berdenyut dan sakit sangat sehingga ia mengganggu tidur mereka.

Selain itu, terdapat pesakit yang sakit menjalar ke kepala, mata dan telinga dan ia mungkin diikuti dengan gusi dan pipi bengkak berhampiran gigi retak.

Dr. Irma turut berkongsi bahawa salah satu pesakit beliau pernah beritahu kesakitan yang berpunca daripada sindrom gigi retak (CTS) adalah antara sakit gigi yang paling perit pernah dialami sepanjang hayatnya.

Rawatan

Sumber: Wikidata

Secara kebiasaannya, doktor akan menjalankan ujian teliti seperti ujian gigitan, radiograf, iluminasi gigi dan ujian elektrik ke atas saraf (EPT) sekiranya pesakit datang dengan tanda-tanda sindrom gigi retak.

Sekiranya retak masih superficial dan jauh daripada saraf selepas pesakit menjalani ujian-ujian tersebut, doktor akan melakukan rawatan tampalan pada gigi yang retak.

Walau bagaimanapun, doktor perlu memastikan dasar retak dapat dibuang terlebih dahulu dan ia tidak akan menjalar lagi. Selepas membuang dasar retak dan memastikan ia tidak menjalar lagi, barulah doktor boleh melakukan tampalan gigi pesakit.

Sekiranya keadaan lebih serius, rawatan akar perlu dilakukan untuk mengelakkan pulpitis dan abses (bengkak gusi). Gigi retak pesakit perlu disarungkan korona (crown) untuk mengelakkan retak daripada menjalar terlalu cepat dan menyebabkan gigi terbelah dua.

Apabila retak telah menjalar lebih daripada setengah gigi, tiada rawatan yang dapat dilakukan selain mencabut gigi terlibat. Apa-apa pun, pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu menjelaskan diagnosis dan rawatan awal sindrom gigi retak boleh selamatkan gigi.

Dr. Irma mengakhiri bebenang beliau dengan menasihatkan semua orang untuk berjumpa doktor gigi setiap enam bulan untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh bagi mengelakkan penyakit gigi.

Untuk anda yang tinggal di Johor Bahru dan mahu membuat rawatan pergigian atau ada apa-apa soalan pasal penjagaan gigi, bolehlah datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi.

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-4 petang), Sabtu (10 pagi-12 tengah hari), Jumaat dan cuti umum (Tutup)

Nombor telefon: 018-900 4980/ 018-227 0800

Website: drirma.com

Untuk lebih banyak tips berkaitan pergigian, kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmaariandi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca