#SelfieGigi: Dr. Irma Kongsi Cara Atasi Sakit Gigi Berdenyut

Pernahkah gigi anda tiba-tiba sakit setiap kali mahu makan makanan sedap? Baru sahaja mahu kunyah, kawasan yang sakit itu tiba-tiba berdenyut, bengkak dan panas.

Baru-baru ini, Dr. Irma Shida telah berkongsi punca dan cara atasi sakit gigi berdenyut dengan melakukan rawatan akar menerusi sebuah bebenang di akaun Twitter beliau.

Menurut Dr. Irma, sakit gigi yang berdenyut itu akan berlaku kerana pulp atau saraf gigi membengkak dan seterusnya mati serta mereput. Saraf gigi yang mereput akan menyebabkan nanah tumbuh di hujung akar gigi sekali gus jadi penyumbang kepada rasa sakit berdenyut. 

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu turut berkata sakit berdenyut tersebut akan menjadi lebih parah apabila pesakit baring pada waktu malam menyebabkan tidur mereka terganggu.

Sumber: Instagram @drirmashida

Ia merupakan salah satu sebab kenapa pesakit cenderung mengalami emosi yang tidak stabil dan cepat marah apabila gigi mereka sakit. Kepada yang pernah berada dalam situasi ini, anda pastinya mahu berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk cabut gigi tersebut. Betul tak?

Kami akan kongsikan proses rawatan akar sebagai alternatif kepada cabut gigi sepertimana yang dikongsikan oleh pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi tersebut menerusi artikel ini:

Rawatan akar gigi

Secara kebiasaannya, doktor akan suruh anda bertenang terlebih dahulu apabila pergi klinik gigi. Sebagai seorang doktor, mereka perlu memeriksa gigi pesakit untuk lihat sejauh mana dan betapa teruk keadaannya. 

Untuk pengetahuan anda, doktor hanya akan mencabut gigi sekiranya struktur gigi pesakit telah banyak hilang sehingga ia tidak boleh diselamatkan dengan tampalan ataupun korona gigi.

Selain itu, gigi anda terlalu goyang ataupun patah vertikal sehingga ia terbelah dua. Dr. Irma menjelaskan bahawa goyang parah tersebut diklasifikasikan sebagai mobiliti tahap tiga.

Sekiranya punca gigi anda sakit dan bengkak adalah berbeza daripada apa yang ada di atas, doktor selalunya akan menyarankan pesakit menjalani rawatan akar gigi.

Menurut Dr. Irma, rawatan akar gigi ini adalah untuk menghilangkan rasa sakit dan mengekalkan gigi di kedudukan asalnya pada masa yang sama.

Doktor anda akan buang saraf gigi tersebut. Selepas itu, gambar X-ray gigi perlu diambil untuk melihat status tulang, kedudukan dan bentuk hujung akar gigi, bilangan akar dan bilangan saluran saraf yang ada.

Pengasas Dr. Irma Skincare itu turut menjelaskan bahawa rawatan akar gigi biasanya akan mengambil tiga sehingga empat janji temu dengan doktor gigi.

Apabila mereka sudah mendapat gambaran jelas gigi yang ingin dirawat, doktor akan beri ubat bius setempat kepada pesakit supaya mereka rasa selesa sepanjang rawatan dijalankan.

Kaviti akan ditebuk pada gigi sehingga ke kebuk saraf di mana nanah dan saraf yang telah mati dikeluarkan menggunakan alat bergerigi iaitu endodontic file.

Doktor akan membersihkan salur akar untuk memastikan ia tidak ada bakteria dan mendapan sebelum letak bahan antiseptik di dalam gigi dan tutup dengan tampalan sementara.

Bahan antiseptik akan dibiarkan selama seminggu sehingga sebulan bergantung pada respons gigi kepada rawatan tadi. Apabila gigi sudah tidak lagi sakit dan bengkak serta pesakit boleh kunyah makanan mereka seperti biasa, bahan antiseptik yang diletakkan sebelum ini akan dikeluarkan dan diganti dengan bahan tampalan akar bernama gutta-percha.

Gutta-percha ini disalut dengan simen khusus untuk memenuhi salur akar supaya jangkitan tidak berulang pada masa hadapan. Tampalan kekal gigi pula diletakkan untuk menutup kaviti yang dibuat pada janji temu lepas.

Sekiranya tampalan tersebut melebihi separuh daripada nisbah saiz gigi, doktor akan memasang korona gigi untuk melindungi gigi pesakit yang telah dirawat akarnya daripada pecah dan patah kerana beban kunyahan. 

Menurut pengasas Dr. Irma Skincare itu lagi, pesakit tidak akan rasa apa-apa pun sebenarnya dekat gigi mereka yang telah dirawat akarnya. Secara ringkasnya, anda mungkin telah tergigit dengan kuat pada gigi tersebut secara tidak sengaja.

Hal ini demikian kerana gigi yang telah dirawat akarnya agak rapuh berbanding yang hidup kerana ia tidak lagi menerima bekalan darah dan nutrisi daripada akar gigi.

Apa-apa pun, Dr. Irma menjelaskan bahawa rawatan akar gigi ini tidak serumit seperti yang ramai orang sangka. Di tangan doktor gigi yang bertauliah, anda akan rasa selesa sahaja dan tidak perlu risau dengan prosedur tersebut.

Sebagai seorang doktor gigi, beliau percaya ia adalah lebih baik untuk pesakit sekiranya mereka mendengar semua pilihan rawatan yang ditawarkan oleh doktor. Cabutan gigi adalah rawatan terakhir dalam pilihan doktor kerana tidak ada ganti yang lebih sempurna daripada gigi asli.

Sekiranya anda tinggal di Johor Bahru dan mempunyai apa-apa soalan berkenaan penjagaan gigi, bolehlah datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi:

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-1 petang, 2 petang-4 petang)

Nombor telefon: 018-900 4980

Untuk lebih banyak tips kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmashida.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca