#SelfieGigi: Dr. Irma Kongsi Apa Yang Akan Berlaku Jika Lidah Terlekat

Pernahkah anda dengar istilah lidah terlekat atau turut dikenali sebagai tongue-tie sebelum ini? Rupa-rupanya, lidah terlekat ini benar-benar berlaku kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.

Baru-baru ini, Dr. Irma Shida telah berkongsi apa yang akan berlaku sekiranya lidah anda terlekat menerusi bebenang di akaun Twitter beliau.

Dr. Irma menjelaskan bahawa ankyloglossia atau lidah terlekat ini akan berlaku apabila frenulum iaitu tisu penyambung antara bawah lidah ke bahagian lantai mulut tidak cukup panjang untuk membenarkan pergerakan normal lidah.

Menurut beliau lagi, lidah terlekat ini berlaku kerana frenulum terdiri daripada sekumpulan tisu yang tebal, pendek dan ketat. Untuk pengetahuan anda, pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu menjelaskan bahawa frenulum ini memang akan berpisah sebelum bayi lahir.

Sumber: Tongue Tie

Apabila frenulum berpisah, lidah bebas bergerak dengan normal tetapi ia berbeza untuk mereka yang mempunyai ankyloglossia. Bagi penghidap ankyloglossia, frenulum gagal berpisah dan ia menjadi lebih pendek daripada normal.

Ankyloglossia biasanya hadir ketika bayi lahir dan ia dipengaruhi faktor genetik. Bayi lelaki lebih mudah dapat ankyloglossia daripada perempuan walaupun ia tidak diketahui dengan jelas apa faktor penyumbang kepada nisbah ini.

Dalam pada itu, kami akan kongsikan tanda-tanda anak-anak anda mungkin mempunyai lidah terlekat sepertimana yang dikongsikan oleh pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi tersebut menerusi artikel ini:

1. Sukar jelir lidah ke hadapan

Sumber: Babocush

Sementara itu, Dr. Irma turut berkongsi tanda-tanda anak anda mempunyai ankyloglossia iaitu lidah mereka akan ke atas dan sisi sahaja. Selain itu, mereka sukar menjelir lidah ke hadapan.

Sekiranya lidah itu dijelir keluar sekali pun, ia kelihatan seperti terbelah atau mempunyai lekuk dekat tengah. Walaupun begitu, ankyloglossia boleh dirawat secara pembedahan di mana ia akan potong atau putuskan frenulum bernama frenectomy.

Sumber: Instagram @drirmashida

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu bagaimanapun menjelaskan bahawa bukan semua orang yang mempunyai lidah terlekat ini memerlukan pembedahan.

Dalam kes ini, bayi tersebut hanya memerlukan pembedahan sekiranya susah menyusu badan kerana lidah mereka yang pendek akan lebih cenderung untuk mengunyah daripada menghisap puting ibu.

Selain itu, keadaan lidah terlekat ini juga perlu dipandang serius sekiranya ia bakal mengganggu perkembangan pertuturan anak anda.

Sekiranya pakar pertuturan rasa ia akan halang anak daripada belajar sebutan perkataan terutamanya yang ada T, D, Z, S ,TH, R dan I, anda boleh bawa anak-anak berjumpa doktor gigi atau doktor pakar kanak-kanak untuk kenal pasti masalah tersebut.

2. Tidak boleh gerak lidah ke kawasan gigi belakang

Dalam situasi anak-anak anda sudah boleh bercakap, mereka akan mengadu susah nak makan atau lidah tidak boleh nak bergerak ke kawasan gigi belakang sekiranya mempunyai ankyloglossia. Ini kerana pergerakan lidah yang agresif boleh membuat tisu sekitar frenulum terluka atau terkoyak.

3. Susah jilat aiskrim

Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga boleh mempunyai lidah terikat. Individu yang menghidap ankyloglossia boleh menjalani rawatan untuk memisahkan frenulum sekiranya ia mengganggu kehidupan seharian mereka terutamanya dari segi perbualan dan ketika makan.

Sementara itu, anda mungkin mempunyai lidah pendek sekiranya susah jilat aiskrim, bibir dan main alat muzik yang perlukan tiupan. Tanpa sedar, permukaan kasar pada lidah juga berfungsi sebagai pembersih atau berus membersihkan plak pada permukaan gigi.

Kesannya, plak akan berkumpul dengan banyak kerana lidah penghidap ankyloglossia ini pendek dan tidak sampai permukaan gigi. Secara ringkasnya, kegagalan membersihkan plak pada permukaan gigi ini boleh menyumbang kepada bau mulut, penyakit gusi dan gigi berlubang.

Pengasas Dr. Irma Skincare ini turut menjelaskan bahawa lekatan frenulum yang ketat dan pendek di dasar mulut juga boleh menyumbang kepada masalah gigi bawah jarang di tengah. Pergerakan lidah akan menarik tisu antara frenulum yang melekat di tengah-tengah gigi bawah dan membuatkan ia semakin menjauh.

Apabila ia berlaku, anda biasanya akan memerlukan rawatan susulan ortodontik untuk merapatkan gigi selepas melakukan prosedur frenectomy. Frenectomy wajib dilakukan dalam kes ortodontik sekiranya ia melibatkan pergerakan gigi berpunca daripada frenulum yang ketat.

Sekiranya anda tinggal di Johor Bahru dan mempunyai apa-apa soalan berkenaan penjagaan gigi, bolehlah datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi:

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-1 petang, 2 petang-4 petang)

Nombor telefon: 018-900 4980

Website: drirma.com

Untuk lebih banyak tips kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmaariandi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kecantikan dan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca