#SelfieGigi: 4 Bahan Semula Jadi Didakwa Boleh Putihkan Gigi, Ini Penjelasan Dr. Irma

Siapa sahaja yang tidak mahu gigi mereka putih seperti mutiara, betul tak? Ia merupakan salah satu sebab anda akan nampak banyak iklan serbuk pemutih gigi di media sosial.

Atas sebab itu juga, Dr. Irma Shida baru-baru ini berkongsi sama ada empat bahan semula jadi terkenal ini benar-benar boleh putihkan gigi seperti yang didakwa menerusi bebenang di akaun Twitter beliau.

Kami akan kongsikan sama ada bahan-bahan semula jadi seperti serbuk arang, garam kasar, asid buah dan baking soda serta hydrogen peroxide benar-benar boleh putihkan gigi ataupun tidak sepertimana yang dikongsikan oleh pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi tersebut menerusi artikel ini:

1. Serbuk arang

Nenek moyang kita pernah menggunakan arang dapur yang telah dilumatkan sebagai ubat gigi mereka pada suatu ketika dahulu. Namun, anda tidak boleh salahkan mereka kerana ubat gigi komersial tidak wujud lagi pada waktu itu.

Sekarang pun kita boleh nampak ramai penjual yang cenderung menggunakan activated charcoal sebagai bahan asas pemutih gigi. Activated charcoal ialah arang yang telah dirawat supaya ia selamat digunakan dalam bidang perubatan.

Sekiranya anda mahu tahu, ada juga yang menggunakan activated charcoal sebagai penyerap toksin dan racun di dalam usus. Disebabkan sifat menyerapnya juga, anda dapat lihat activated charcoal digunakan untuk merawat cirit-birit, ketidakhadaman dan kembung perut.

Sumber: Instagram @drirmashida

Menurut Dr. Irma lagi, para penjual mungkin menganggap arang boleh serap dan tarik warna dari dalam gigi sehingga ia jadi lebih putih. Namun, anda tak boleh percaya bulat-bulat serbuk arang mampu memutihkan gigi kerana tidak ada kajian saintifik yang cukup lagi setakat ini untuk menyokong dakwaan berkenaan. 

Satu perkara yang pasti, partikel arang yang ditumbuk dan disapukan pada gigi itu hanya mampu membuang kotoran pada permukaan sahaja. Jika partikel arang tidak cukup halus, ia akan menghakis permukaan gigi sehingga ia jadi nipis. 

Apabila enamel menipis, gigi akan menjadi sensitif. Ramai orang tidak tahu gigi sebenarnya akan nampak lebih kuning kerana dentin yang berwarna kuning akan lebih kelihatan apabila sarung enamel yang putih menjadi semakin nipis. 

2. Garam kasar

Sumber: eBorong

Dalam pada itu, ada juga yang turut mencadangkan garam kasar sebagai alternatif untuk gigi menjadi lebih putih. Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi ini turut menjelaskan bahawa garam kasar tidak berfungsi untuk memutihkan gigi sebenarnya.

Apabila anda menggunakan garam kasar, partikelnya yang besar akan membuatkan gigi jadi lebih terhakis. Kristal garam kasar pula tajam. Gusi akan cedera sekiranya ia terkena hablur garam kasar ketika anda sedang menggosok gigi.

Silap hari bulan, gusi akan mengalami keadaan resesi untuk jangka masa panjang di mana ia turun daripada tempat lekatan asal. Gigi anda akan kelihatan lagi panjang kerana akar gigi sudah terdedah. Dalam erti kata lain, akar gigi yang terdedah ini akan mengakibatkan gigi sensitif. Secara ringkasnya, garam kasar tidak boleh memutihkan gigi.

3. Asid buah dan soda penaik

Sumber: HuffPost

Sekiranya anda mahu gigi jadi lebih putih, ada yang turut menyarankan penggunaan soda penaik sebagai alternatif. Ada pula yang memberi cadangan untuk menggunakan campuran soda penaik dengan buah strawberi atau nanas sebagai ubat gigi setiap hari.

Dalam pada itu, ada juga yang mendakwa campuran cuka epal dan soda penaik akan membuatkan gigi menjadi lebih putih. Hal ini demikian kerana asid di dalam buah dapat memutihkan gigi dan soda penaik dapat membuang kotoran yang melekat pada gigi. Betul ke?

Pengasas Dr. Irma Skincare itu menjelaskan tidak ada kajian saintifik lagi setakat ini yang menyokong dakwaan asid buah dan soda penaik dapat memutihkan gigi. Gigi anda lebih berkapur selepas menggosok gigi kerana tindakan asid pada gigi itu sendiri.

Apa yang anda perlu tahu adalah gigi bukannya akan terus-menerus menjadi putih tetapi kesan tersebut hanya bertahan sementara sahaja. Dengan keadaannya yang sangat lemah dan lembut, gigi anda akan lebih mudah terhakis apabila ia diberus dengan kuat.

Apabila anda kerap menjadikan soda penaik dan asid buah sebagai alternatif kepada ubat gigi, ia akan buat enamel jadi lebih nipis.

4. Hydrogen peroxide

Pernahkah anda dengar atau membaca di mana-mana sebelum ini bahawa hydrogen peroxide digunakan semasa memberus gigi dan boleh putihkan gigi dekat rumah?

Pengarah Klinik Pergigian Irma Ariandi itu kemudiannya menjelaskan bahawa doktor gigi menggunakan hydrogen peroxide untuk rawatan pemutihan gigi.

Walau bagaimanapun, hydrogen peroxide yang digunakan oleh doktor gigi adalah dalam keadaan terkawal dan dengan isolasi tisu lembut yang sempurna. Doktor gigi juga akan memastikan pesakit mereka tidak tertelan bahan kimia tersebut.

Sebagai seorang doktor gigi, mereka akan memastikan hydrogen peroxide tidak meleleh pada gusi dan lidah pesakit kerana bahan kimia berasid ini boleh sebabkan kecederaan. 

Oleh itu, pengasas Dr. Irma Skincare terbabit sama sekali tidak mengesyorkan orang ramai untuk memberus gigi dengan hydrogen peroxide di rumah kerana ia sebenarnya membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat jika tidak digunakan dengan betul.

Sementara itu, Dr. Irma turut berkongsi apa yang anda boleh amalkan untuk penjagaan kesihatan gigi. Sebagai seorang doktor gigi, beliau tetap menekankan penggunaan ubat gigi berfluorida dan bukannya bahan-bahan semula jadi seperti dalam artikel ini untuk menggosok gigi.

Ubat gigi berfluorida akan menghalang pembentukan kaviti. Selain itu, beliau turut memberi peringatan kepada semua untuk menggosok gigi dua kali sehari.

Anda boleh menggunakan berus gigi berbulu halus supaya gigi tidak terhakis. Beliau turut berkata anda perlu membuat pemeriksaan gigi dengan doktor setiap enam bulan untuk memastikan gigi sentiasa berada dalam keadaan optimum.

Untuk yang mahukan gigi putih seperti mutiara, anda perlu minta nasihat daripada doktor gigi masing-masing dan bukannya percaya bulat-bulat apa yang ada dekat internet.

Sekiranya anda tinggal di Johor Bahru dan mempunyai apa-apa soalan berkenaan penjagaan gigi, anda boleh datang ke Klinik Pergigian Irma Ariandi:

Alamat: 1-24 dan 1-25, Aras 1 Plaza Larkin, Jalan Garuda, 80350 Johor Bahru

Waktu operasi: Ahad-Khamis (10 pagi-1 petang, 2 petang-4 petang)

Nombor telefon: 018-900 4980

Website: drirma.com

Untuk lebih banyak tips kecantikan dan penjagaan kulit serta badan, anda boleh ikuti Dr. Irma di laman sosial Twitter @drirma_ariandi dan Instagram @drirmaariandi.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kecantikan dan penjagaan gigi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca