Selepas Tular Lekat Pisang Pada Dinding, Kedai Di Singapura Lekat Durian Sebagai Parodi

Seni itu subjektif. Walaupun kita menganggap harga sebiji pisang dengan pita pelekat yang dijual pada harga RM499,560 itu terlampau mahal, namun berapa pula nilai sebiji durian sekiranya kita lekatkan raja buah tersebut pada dinding?

Pertubuhan di Singapura mempersoalkan hal itu selepas kisah di mana sebuah karya seni berasaskan pisang dan pita pelekat yang kemudiannya dibeli oleh pengumpul seni Perancis tetapi akhirnya dimakan oleh seorang artis persembahan di New York iaitu David Datuna menjadi tular baru-baru ini.

Seorang artis Itali yang dikenali sebagai Maurizio Cattelan menghasilkan karya tersebut iaitu Comedian sebelum ia dipamerkan di sebuah galeri iaitu Art Basel yang terletak di negeri Florida, Amerika Syarikat.

Sumber: Vogue

Walau bagaimanapun, Singapura juga mempunyai versi mereka tersendiri untuk karya seni tersebut!

Dilaporkan bahawa sebuah kedai durian dan pemanis mulut iaitu 99 Old Trees telah memuat naik sebuah foto pada Isnin lalu yang memaparkan sebiji durian dilekat pada dinding menerusi laman Facebook mereka.

Sekiranya Amerika Syarikat mempunyai Comedian, Singapura pula mempunyai Durian Tape to White Wall! Untuk pengetahuan anda, harga karya seni berkenaan ialah S$163,056 (RM499,204).

Namun, apa yang lebih mencuit hati ialah kapsyen yang diberikan oleh kedai durian tersebut, “Ia umpama hasil seni tetapi baunya seperti kentut.”

Tambahnya, “Seni berasaskan durian diabadikan di sini untuk mengingati kepayahan nenek moyang kita. Pita pelekat itu pula melambangkan penindasan zaman penjajahan dahulu.”

Mungkin ada yang masih meragui mata mereka dengan menganggap harga karya seni itu tidak masuk akal, tetapi rupa-rupanya harga itu termasuk pita pelekat dan durian Mao Shan Wang seberat 2.15 kilogram yang dijangka akan bertahan dalam masa tiga hari!

Dalam pada itu, pengurus 99 Old Trees iaitu Kelvin Tan akui bahawa Comedian merupakan sumber inspirasi mereka untuk menghasilkan karya seni tersebut dan beliau tidak kisah sekiranya ada pelanggan yang bertindak untuk memakan durian di dinding premisnya itu.

Artikel Lain Untuk Di Baca