Selepas Hampir 3 Dekad, Misteri Kehilangan The Frog Boys Masih Belum Terungkai

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: CNA

Pada 26 Mac 1991, lima orang pelajar sekolah rendah hilang di Daegu selepas mereka pergi mencari telur salamander bersama-sama. Kami akan kongsikan kisah kehilangan The Frog Boys menerusi artikel ini:

Kronologi kehilangan The Frog Boys

Pada 26 Mac 1991, kerajaan Korea Selatan telah mengisytiharkan hari tersebut sebagai cuti umum untuk pilihan raya. Atas sebab itu, lima orang sahabat ini pun mahu pergi menangkap telur salamander bersama-sama di Gunung Waryong.

Disebabkan gunung tersebut tidak terlalu jauh dari rumah mereka, Woo Cheol-won, Jo Ho-yeon, Kim Young-gyu, Park Chan-in dan Kim Jong-sik telah bergerak secara berkumpulan pada hari tersebut selepas menerima keizinan daripada ibu bapa masing-masing.

Siapa sangka, ia merupakan kali terakhir ibu bapa kepada lima orang sahabat itu dapat bertemu dengan anak-anak masing-masing sebelum mereka pergi buat selama-lamanya?

Selepas menerima laporan daripada ibu bapa mangsa, polis tempatan dan sukarelawan terus melakukan pencarian dekat beberapa buah lokasi yang dikenal pasti terutamanya di Gunung Waryong.

Gunung Waryong. Sumber: Channel News Asia

Stesen televisyen mula melaporkan berita kehilangan pelajar-pelajar Sekolah Rendah Seong Seo ini dengan berkata bahawa kanak-kanak itu naik gunung kerana cari telur katak dalam laporan mereka.

Ini kerana ramai antara penonton di Korea Selatan pada waktu itu tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan salamander. Jadi, semua kanak-kanak yang hilang itu lebih dikenali dengan jolokan budak-budak katak.

Berita kehilangan The Frog Boys ini turut mencuri perhatian ramai pada waktu itu termasuk Presiden Roh Tae-woo. Beliau mengarahkan 300,000 orang anggota polis untuk menyertai misi pencarian lima orang kanak-kanak tersebut tetapi ia tidak membuahkan apa-apa hasil.

Usaha pencarian kanak-kanak

Ibu bapa mangsa telah menyewa sebuah lori kecil untuk mencari anak-anak mereka. Sumber: Channel News Asia

Bukan sahaja di kawasan sekitar Gunung Waryong, mereka turut mencari kanak-kanak tersebut di gunung-ganang, sungai, taman, stesen bas dan stesen kereta api dekat seluruh negara.

Untuk pengetahuan anda, pelbagai syarikat dan individu telah mendermakan wang berjumlah 42 juta won (RM154,347) sebagai ganjaran kepada sesiapa yang berjaya menemui kanak-kanak tersebut.

Ibu bapa kepada lima sahabat ini juga telah mengedarkan ribuan risalah di seluruh negara dengan harapan mereka dapat bertemu anak-anak semula.

Ada juga ibu bapa mangsa yang nekad berhenti kerja untuk mencari anak lelaki mereka. Walaupun begitu, terdapat individu yang mengambil kesempatan terhadap kes ini kerana pihak polis menerima lebih 500 laporan palsu.

Penemuan tengkorak mangsa

Pada 26 September 2002, dua orang lelaki menemui sesuatu yang mengejutkan mereka di Gunung Waryong iaitu cebisan pakaian dan tulang manusia ketika sedang mencari buah oak.

Mereka kemudiannya melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan hasil siasatan mengesahkan bahawa ia merupakan tengkorak lima orang kanak-kanak yang hilang di Gunung Waryong lebih 11 tahun lalu.

Pada awal penyiasatan, pihak polis mengesyaki punca pemergian semua mangsa ialah hipotermia tetapi hasil pemeriksaan membuktikan sebaliknya.

Hasil pemeriksaan

Hasil pemeriksaan secara terperinci mendapati tiga daripada mereka telah dipukul dengan objek tumpul manakala dua lain mempunyai kesan darah pada tengkorak.

Pada 25 Mac 2004, jasad-jasad mereka akhirnya dikebumikan dan tengkorak mangsa telah didermakan kepada Universiti Gyeongbuk untuk kajian perubatan.  

Untuk pengetahuan anda, Korea Selatan sebelum ini mempunyai statut had masa selama 15 tahun untuk kes bunuh. Selepas 15 tahun, tertuduh tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang sekiranya mereka ditangkap. Jadi, kes ini terpaksa ditutup pada tahun 2006.

Korea Selatan bagaimanapun telah memansuhkan statut ini pada Julai 2015. Pada pendapat anda, adakah pesalah dalam kes ini boleh ditemui dalam kadar segera?

Penulis:

  • Nur Azlin Mohd Azda adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kisah kehilangan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca