Selepas Gesa Kerajaan Untuk Benarkan Jenayah Rogol, Pengarah Filem Ini Minta Maaf Atas Keterlanjuran

Baru-baru ini, seorang pengarah filem dari India mengeluarkan kenyataan yang menggesa kerajaan India untuk membenarkan jenayah rogol tanpa keganasan di sisi undang-undang.

Daniel Shravan

Daniel meninggalkan komen tersebut di media sosialnya selepas seorang doktor veterinar iaitu Priyanka Reddy ditemui maut selepas dirogol secara beramai-ramai di India pada bulan lalu.

Namun, apa yang lebih menaikkan kemarahan warganet ialah pengarah itu berkata bahawa wanita perlu melakukan hubungan seks bersama mana-mana lelaki secara rela untuk mengelakkan kes rogol dan pembunuhan seperti itu berulang lagi.

Memetik kenyataan Daniel, “Sekiranya anda hendak dirogol, anda perlu serahkan kondom terlebih dahulu kepada perogol berkenaan dan bekerjasama dengannya sementara dia memenuhi keperluan seksualnya. Dengan cara itu, perogol itu tidak akan membahayakan anda.”

Susulan kontroversi tersebut, beberapa wanita dilaporkan berjumpa dengan keluarga Daniel selepas berinteraksi di laman Facebook. Ibu Daniel dilihat amat kecewa dan malu lalu meminta anak lelakinya itu membuat permohonan maaf.

Daniel Shravan membuat permohonan maaf selepas kenyataannya itu menjadi tular. Menurut laporan International Business Times, Daniel berkata bahawa kenyataan itu bukan pandangan peribadinya sebaliknya membuat dakwaan bahawa ia merupakan sebuah petikan dialog daripada skrip watak antagonis dalam filemnya.

Katanya, “Saya memohon maaf kerana menyiarkan komen sensitif sehingga mengundang kemarahan orang ramai. Saya menyesal kerana mengeluarkan kenyataan tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya. Saya meminta maaf atas segala salah faham yang dibuat di media sosial kerana saya tidak ada niat untuk menujukannya kepada sesiapa pun.”

Media tempatan melaporkan bahawa orang ramai masih sukar untuk menerima permohonan maafnya walaupun lelaki itu sudah meminta maaf dan memadam kenyataan asal daripada media sosialnya.

Artikel Lain Untuk Di Baca