Selepas ‘Diseru’ TMJ Tentang Isu Bella, Rina Harun Tampil Bersuara

Kes melibatkan Bella iaitu seorang remaja berusia 13 tahun yang mengalami sindrom Down dan dipercayai telah diseksa di Rumah Bonda menjadi bualan orang ramai di media sosial baru-baru ini.

Ia turut mendapat perhatian pasangan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Besar Khaleeda yang memaklumkan bahawa mereka akan berusaha untuk menuntut keadilan buat Bella dan sedia menawarkan khidmat peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati kes penderaan remaja itu.

Menerusi ciapan di laman Twitter, TMJ menjelaskan bahawa beliau telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguamnya tentang kes penderaan Bella.

TMJ turut memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Rina Mohd Harun untuk menawarkan perkhidmatan peguam-peguamnya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak kementerian berkenaan untuk kes ini

Sebagai respons, Rina menjelaskan beliau dan rombongan Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia untuk menghadap TMJ dan Che’ Puan Besar Khaleeda untuk mempersembahkan status kes perbicaraan Bella dan tindakan-tindakan pihak kementerian dalam membantu perbicaraan kes tersebut.

Sumber: Twitter Rina Mohd Harun

Rina turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memanjatkan doa supaya urusan perbicaraan kes penderaan Bella dipermudahkan dan kebenaran serta keadilan dapat dibuktikan di akhir perbicaraan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca