Selepas Abang Burger, Peniaga Colek Ini Pula Dikenakan Kompaun RM50,000

Pada hari Isnin yang lalu, warganet digemparkan dengan berita abang burger yang telah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 ketika sedang menjual burger di hadapan rumahnya pada jam 11 malam.

Kini, warganet sedang heboh lagi tentang peniaga colek di Kota Bharu yang turut menerima nasib yang sama.

Berita Harian melaporkan pada hari Selaasa yang lalu, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan isterinya Nik Nawati Nik Lah, 38, telah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 di Kampung Chekok Tengah.

Azizi mengatakan bahawa dia sangat terkejut sehingga kehilangan kata-kata apabila melihat jumlah kompaunnya yang perlu dibayar. Sedangkan untuk meraih RM100 pada setiap malam hanya dengan berniaga colek juga sememangnya sukar.

Tambahnya lagi, dia dan isterinya sedang mengemas di dapur ketika polis tiba pada jam 11:30 malam dan kedainya pada waktu itu sudahpun ditutup seawal 10 malam.

Azizi yang pada waktu itu sedang menggoreng keropok untuk anak-anak mereka yang masih belum tidur, dikejutkan dengan kedatangan polis.

Anggota polis tersebut dikatakan terus mengenakan kompaun berjumlah sebanyak RM50,000 tanpa mendengar sebarang penjelasan dari pihak Azizi serta isterinya.

Azizi memberitahu dia masih menanggung lima orang anaknya yang masih bersekolah dan juga tiga orang anak saudaranya.

Jumlah RM50,000 itu sememangnya sebuah jumlah yang sangat besar. Azizi berkata, jika nilai itu diturunkan sehingga RM10,000 sekalipun, dia tetap tidak mampu untuk membayar wang sejumlah itu dan lebih memilih untuk masuk penjara.

Azizi bercerita lagi, dia juga merupakan seorang mekanik selain membantu isterinya menjual mi celup pada hari biasa. Perniagaan menjual colek ini bermula pada sekitar Ramadan empat tahun yang lalu.

Azizi juga dipercayai telah ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk membuat rayuan dan pertimbangan daripada pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan juga telah memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti tentang kes ini termasuk peniaga-peniaga lain yang ditimpa nasib yang sama.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca