Selepas 33 Hari Disiasat, Neelofa Dan PU Riz Dikenakan Kompaun

Majlis perkahwinan Neelofa dengan pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail ataupun lebih dikenali sebagai PU Riz pada 27 Mac lalu menjadi bualan ramai kerana ia didakwa telah melanggar prosedur operasi standard (SOP). Selepas menerima kecaman hebat daripada orang ramai, pasangan tersebut akhirnya dikenakan kompaun selepas 33 hari kes ini disiasat.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 manakala PU Riz pula sebanyak RM10,000. Selain itu, tiada diskaun yang akan diberikan kepada pasangan tersebut kerana mereka telah melakukan dua kesalahan.

Selain itu, keluarga PU Riz dan Neelofa seramai 20 orang yang hadir ke majlis perkahwinan mereka pula dikenakan kompaun sebanyak RM30,000 secara menyeluruh.

Sumber: Instagram @noornabila

20 orang ahli keluarga yang menghadiri majlis perkahwinan tersebut perlu membayar RM1,500 setiap seorang kerana gagal menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ketika majlis akad nikah berlangsung.

Secara ringkasnya, jumlah kompaun yang perlu dibayar oleh Neelofa, PU Riz dan keluarga adalah RM60,000. Dalam pada itu, kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur adalah beliau gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tentang pematuhan SOP ketika penganjuran majlis sosial.

Buktinya, Neelofa selaku penganjur gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung pada bulan lalu.

Pasangan suami isteri itu juga telah melanggar kebenaran merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4(2)(d) Peraturan-Peraturan sama kerana ada aktiviti berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Sementara itu, tinjauan kami di laman Twitter mendapati rata-rata warganet kurang bersetuju dengan kompaun tersebut dan turut membandingkan kes ini dengan seorang peniaga burger yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000:

Neelofa turut mengesahkan bahawa beliau dan PU Riz telah dikompaun menerusi sebuah hantaran di laman Facebook.

“Assalammualaikum. Saya sudah dimaklumkan tentang kompaun yang dikenakan terhadap saya dan Haris. Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa.

Ia juga peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis perkahwinan kami untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP.

Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik dalam menguruskan kes saya. Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian. Terima kasih,” ujar Neelofa.

Apa pendapat anda tentang jumlah kompaun tersebut?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca