Selepas 25 hari dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kerana positif COVID-19, pelakon Ashraf Muslim akhirnya pulang ke pangkuan kedua-dua isterinya iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.
Ashraf meluahkan rasa sedih dan sayu di hatinya apabila harus meninggalkan wad 31 dan rakan-rakan baharunya yang kini dianggap seperti keluarga menerusi satu coretan di laman Instagram.
“Assalamualaikum. Masanya sudah tiba. Berat hati ini untuk meninggalkan sahabat-sahabatku di wad ini. Saya sudah anggap mereka sebagai keluarga. Allahuakbar, saya tidak boleh terjemahkan perasaan ini ke kata-kata.
Saya memang rasa sayu untuk tinggalkan wad ini tiga hari sebelum balik ke rumah. Saya minta maaf kepada pakcik, abang-abang dan adik-adik wad 31. Saya juga ingin meminta maaf kepada doktor dan jururawat yang menjaga saya dan rakan-rakan di sini.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan kerana menerima saya dan rakan-rakan seadanya. Semoga Allah SWT murahkan rezeki anda yang menyumbang makanan dan minuman kepada kami di sini,” ujarnya.
Menurut Ashraf lagi, dia disahkan negatif wabak berkenaan pada 23 April lalu tetapi memilih untuk menjalani kuarantin di hospital atas alasan tertentu.
“Saya ingin meminta maaf kepada rakan-rakan artis dan wartawan yang tanya bila saya boleh keluar dari wad. Saya bagaimanapun sentiasa mengelak untuk menjawab soalan tersebut.

Saya sebenarnya sudah disahkan negatif pada 23 April lalu tetapi saya memilih untuk menjalani kuarantin kendiri di wad 31. Pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan saya tetapi apa yang paling penting adalah saya dapat solat berjemaah dan menunaikan ibadah bersama pesakit lain.
Ini adalah terapi hati saya untuk lebih tenang. Saya minta maaf. Banyak cerita, pengalaman dan perkongsian dilakukan bersama pesakit-pesakit lain di mana semuanya datang daripada kaum, agama dan latar belakang yang berbeza. Walaupun begitu, kami hanya inginkan satu perkara sahaja iaitu ketenangan,” katanya.
Sementara itu, Ashraf memohon rakyat Malaysia untuk mendoakan pesakit COVID-19 supaya cepat sembuh dan boleh pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
View this post on InstagramA post shared by Ashraf Muslim (@ashrafmuslim) on
Ashraf menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh kerana disahkan positif COVID-19 pada 12 April lalu selepas pulang dari Inverness, Scotland pada 31 Mac.
Sebagai peringatan, rakyat Malaysia diminta untuk mematuhi arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana kesihatan anda dan orang sekeliling perlu menjadi keutamaan sepanjang masa.
Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan selebriti tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah: