Selamatkan Sherry Selepas Terima Komen ‘Body Shaming’ Mark Adam, Alif Satar Segan Digelar Hero

Penyanyi dan pengacara terkenal tanah air iaitu Alif Satar memuji tindakan Mark Adam yang tampil memohon maaf dan mengakui kesilapannya yang terlanjur kata sewaktu menjadi juri jemputan program realiti, Big Stage pada Ahad lalu.

Terdahulu, penyanyi dan pelawak itu telah memberi ulasan terhadap salah seorang peserta iaitu Chaleeda Gilbert dengan mengatakan wanita itu berpeluang besar dan pada masa yang sama turut mengaitkan bentuk badan Sherry Al Hadad.

This opportunity is very big, you see. Even the host is big,” katanya secara spontan.

Apa yang keluar daripada mulut penyanyi dan pelawak itu dianggap agak keterlaluan dan menerima kecaman hebat daripada warganet. Rata-rata menyifatkan komen itu sebagai body shaming meskipun niatnya hanya untuk bergurau.

Mark Adam bagaimanapun tampil memohon maaf dan mengakui salahnya itu. Alif selaku ‘penyelamat’ Sherry pada malam tersebut berharap agar isu yang berlaku itu tidak lagi diperbesarkan kerana semuanya sudah selesai dengan baik.

“Kedua-dua mereka ialah rakan baik dan saya yakin, Mark tidak berniat mengguris perasaan Sherry dengan gurauannya itu. Ia hanya gurauan sesama rakan, tetapi apabila dilakukan ketika siaran langsung, ramai salah faham.”

“Saya puji tindakan Mark yang pantas mengakui kesilapannya. Sesiapa sahaja yang berada pada kedudukan saya, pasti akan melakukan perkara yang sama,” katanya.

Alif atau nama penuhnya Muhammad Alif Mohd Satar mengatakan bahawa insiden yang berlaku seharusnya diambil sebagai pengajaran kerana sebagai manusia, tiada siapa yang terlepas daripada melakukan kesilapan.

Tambahnya lagi, sebagai pengacara, dia perlu bertindak secara profesional bagi meredakan situasi terutama sekali apabila ia membabitkan perkara sensitif seperti mempersenda fizikal orang lain.

“Saya segan apabila ramai yang memuji dan menganggap saya sebagai hero serta penyelamat keadaan. Saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan kerana apa sahaja boleh berlaku ketika bersiaran secara langsung.”

“Lagipun, Mark dan Sherry sudah menyelesaikan perkara itu dengan baik. Sherry ada memaklumkan kepada saya, Mark sudah menghubunginya untuk meminta maaf.”

“Saya yakin Sherry juga tidak menyimpan perkara itu dalam hati,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca