“Selamatkan Ayah Dulu, Kurus Kemudian”, Kanak-Kanak Ini Rela Jadi Gemuk Untuk Selamatkan Nyawa Bapa

Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun telah memberi hadiah paling berharga buat ayahnya iaitu sum sum tulangnya selepas berjaya menaikkan berat badan sebanyak 18 kilogram bagi melayakkannya untuk membuat pembedahan itu.

Anak sulung itu merupakan satu-satunya dalam keluarga mereka yang mempunyai sum sum tulang sepadan dengan ayahnya. Namun begitu, berat badannya yang terlalu kurus sebelum ini iaitu hanya 30 kilogram menyebabkan dia terpaksa menggemukkan badan terlebih dahulu.

Meskipun keluarganya bukan dalam kalangan orang berada, mereka semua sepakat untuk memastikan Zikuan memakan nasi dan makanan berlemak serta paling berkhasiat sebanyak lima kali sehari.

Rutin yang dilakukan sejak Februari lalu itu akhirnya membuahkan hasil apabila Zikuan berjaya mencapai berat badan yang diperlukan iaitu 50 kilogram.

Tidak dinafikan, menaikkan berat badan secara mendadak bukanlah sesuatu yang mudah. Zikuan sendiri mengaku bahawa ada masa di mana dia tidak larat untuk menghabiskan makanan selain sering mengalami sakit perut gara-gara terlampau kenyang.

Pengorbanan Zikuan begitu besar memandangkan majoriti rakan di sekolahnya mengejek fizikalnya dengan menggelarkan dirinya sebagai ‘budak gemuk’. Ejekan itu bagaimanapun tidak berlarutan selepas guru besar bertindak menegur perbuatan pelajar-pelajar yang berbuat demikian.

Walaupun menerima julukan baharu itu, Zikuan mengatakan yang dia langsung tidak mengambil hati malah berkata, “Selamatkan ayah dulu, kurus kemudian.”

Menurut laporan Beijing Youth Daily, bapa kepada Zikuan iaitu Lu Yanheng dipercayai menghidapi penyakit kanser darah yang menyebabkannya terlantar di kediaman mereka yang bertempat di wilayah Henan.

Prosedur mengeluarkan sum sum tulang Zikuan dijalankan pada 9 September lalu di mana tarikh itu juga merupakan hari jadi ayahnya.

Yanheng yang sangat terharu dengan pengorbanan anaknya itu mengatakan bahawa dia tidak akan melupakan hari tersebut.

“Anak saya memberikan harapan untuk hidup pada hari jadi saya.”

“Saya amat berterima kasih kepadanya. Dia mengaku sakit kaki dan belakang susulan prosedur itu. Pengorbanan ini terlalu besar untuk dilakukan seorang budak,” katanya.

Kisah keluarga itu menjadi tular dan mendapat simpati orang ramai. Mereka dikatakan menerima derma sebanyak lebih RM471,000 daripada rakyat di seluruh negara.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca