Salah satu serangga yang paling dibenci oleh individu di muka bumi ini adalah nyamuk. Selain gigitannya yang cukup gatal dan boleh meninggalkan parut sekiranya kita garu dengan kuat, ‘melodi’ haiwan itu berterbangan di sebelah telinga pun boleh buat kita stres.
Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah berkongsi tentang teknik untuk mengawal nyamuk. Perkongsian itu menjadi tular dalam sekelip mata sahaja di mana ia berjaya mendapat lebih 17,000 ulang kicau dan hampir 14,000 tanda suka. Menariknya, tips yang dikongsikan Zulhelmi Zulkifli hanya menggunakan dua bahan sahaja.
Berikut adalah bahan-bahan yang anda perlukan bagi membuat ‘Ridsect’ jenama sendiri:
1. Air
2. Cecair pencuci pinggan Lemon Fresh Joy atau Harimau Kuat dengan keharuman Lemon
Cara-caranya sangat mudah. Anda cuma perlu letak sedikit air di pinggan makan berwarna putih dan tambahkan beberapa titis cecair pencuci pinggan Lemon Fresh Joy atau Harimau Kuat. Kemudian, letakkan pinggan berisi ‘ubat nyamuk’ itu di patio, meja, kerusi mahupun di luar rumah.
Dalam sekelip mata sahaja, anda akan dapati nyamuk-nyamuk yang tadi berterbangan memainkan pelbagai melodi akan ‘bergelimpangan’ di dalam pinggan tersebut.
Bagaimana campuran air dan cecair pencuci pinggan itu boleh membunuh nyamuk? Dari sudut Sains, mana-mana serangga akan bergantung pada permukaan air untuk terapung di atasnya. Dengan meletakkan cecair pencuci pinggan, ia sekali gus akan menolak molekul air. Dengan ini, serangga yang ‘landing’ di atas permukaan tersebut akan tenggelam dan mati.
Jadi berdasarkan penerangan dari sudut Sains, anda boleh guna apa-apa jenama cecair pencuci pinggan sahaja untuk membunuh nyamuk. Ia tidak semestinya dua jenama yang dinyatakan di atas.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.