Bermula pada era Myspace dan Friendster yang lebih awal bertapak dalam menawarkan platform media sosial, Facebook terus gagah mengembangkan empayar mereka dan ternyata berjaya untuk terus kekal relevan hingga ke hari ini – 15 tahun selepas ia dilancarkan. Ya, 15 tahun! Kalau Facebook ini adalah seorang manusia, mungkin sekarang Facebook seorang budak raver, budak hipster atau dak WeChat. Mungkin juga beliau salah seorang BTS Army yang penuh ketaksuban.
Mujurlah Facebook bukan manusia.
Bagi kami, apa yang membuatkan Facebook kekal sebagai pemain industri utama adalah kemahuan dan kemampuan mereka; kemahuan untuk terus kekal dengan berevolusi dan kemampuan untuk menawarkan servis yang terkini. Ia adalah kerja yang memerlukan kesungguhan, keberanian dan tenaga pakar setiap orang yang bekerja di balik tabir untuk menggerakkan Facebook sehingga ke tahap apa yang telah dicapai pada hari ini.
Ok ayuh kita throwback menyusur apa dan bagaimana Facebook lalui sepanjang 15 tahun lepas.
1. Zuckerberg memulakan Facebook ketika beliau menuntut di Harvard bersama beberapa orang rakan iaitu Eduardo Saverin, Andrew McCollum, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Idea asal mereka adalah untuk membawa secara online direktori pelajar-pelajar kolej yang diberikan ketika awal kemasukan ke universiti yang berbentuk kertas panduan mengandungi imej dan maklumat semua pelajar.
Secara rasmi, ia dapat dilayari di internet pada 4 Februari 2004.
Ketika itu, laman webnya adalah http://www.thefacebook.com, dan inilah rupa paparan halaman utama Facebook pada ketika itu.
Perhatikan pada bahagian bawah sekali, anda boleh baca ayat yang tertera di situ – ‘a Mark Zuckerberg production’. Ya, seperti kebanyakan kita semua yang mungkin kekeringan idea untuk meletakkan nama start-up pada peringkat permulaan, Zuckerberg juga tidak terkecuali yang akhirnya membuat keputusan cliche menggabungkan nama sendiri dengan perkataan ‘production’ di belakang.
2. Ini pula apa yang dipaparkan pada halaman ‘ABOUT’ atau ‘Tentang Kami’.
3. Semasa peringkat awal, akses ke laman web ini hanya terhad kepada para pelajar di Harvard saja, namun disebabkan popularitinya yang naik mendadak ketika itu, ia telah diperpanjangkan kepada para pelajar universiti lain di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada pada bulan Mac 2004 – hanya sebulan selepas itu.
Tidak lama selepas itu, Zuckerberg telah dibuang dari Harvard dan beliau membuat keputusan untuk berpindah ke Palo Alto, California, untuk mengusahakan Facebook secara sepenuh masa.
4. Menonton The Social Network, sebuah filem tentang Zuckerberg dan Facebook yang ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia pada 2010, pasti ada yang perasan tentang watak Sean Parker yang dilakonkan oleh Justin Timberlake.
Siapa Sean Parker? Generasi yang membesar era 2000 pasti tahu tentang Napster. Lama sebelum Spotify wujud dan boleh dibawa ke mana-mana, Napster adalah harapan umat penggemar muzik, dan Sean Parker adalah pengasas syarikat itu yang mengalami banyak tentangan oleh pengamal industri muzik pada ketika itu atas sebab hakcipta.
Sean Parker turut terlibat dengan Facebook pada fasa permulaan apabila rakan Zuckerberg, Christy Lee memperkenalkan beliau kepada Sean Parker. Antara perkara yang disarankan oleh Sean Parker adalah membuang perkataan ‘The’ daripada TheFacebook. Beliau juga yang membuka pintu untuk Facebook berpindah lokasi operasinya ke California.
Perhatikan pada tangkap layar di atas, Facebook mula berevolusi daripada laman untuk pelajar kolej ke tahap baru pada 2005 dengan turut membuka servis laman mereka kepada pelajar peringkat sekolah menengah atau high school.
5. Facebook membuka ‘langkah panjang’ yang pertama pada tahun 2007 dengan membuang terus identiti platform sosial eksklusif untuk pelajar dan secara rasmi menjadi rangkaian sosial yang dibuka untuk kegunaan semua.
6. Pada 2008, Mark Zuckerberg akhirnya membuat keputusan untuk tidak lagi mengguna pakai dan memaparkan ‘ a Mark Zuckerberg production’ pada bahagian bawah laman utama Faceboook.
7. Pada sekitar tahun 2008 jugalah Facebook mula mendapat perhatian para pengguna di Malaysia, menggantikan Friendster dan Myspace yang dominan pada ketika itu. Facebook tampil menawarkan alternatif kepada pemain media sosial setelah pengguna di Malaysia mula bosan ‘membuang masa’ di Friendster dan Myspace yang dilihat gagal menawarkan pembaharuan dari semasa ke semasa.
8. Pada Februari 2009, Facebook telah memperkenalkan fungsi butang ‘like’ sebagai tanda suka. Ia menggunakan imej ‘thumbs up’. Ia membolehkan pengguna untuk menekan butang ini sebagai tanda bersetuju, minat atau suka terhadap status yang dikongsikan oleh rakan mereka.
9. Tambahan kepada fungsi ini, Facebook sekali lagi tampil menawarkan pembaharuan dengan memperkenalkan kemaskini butang tambahan dengan reaksi pada tahun 2016 yang membolehkan pengguna memilih emoji tertentu bagi mengekspresikan rasa cinta, ketawa, sedih, marah, atau teruja.
10. Facebook membeli Instagram pada tahun 2012 dengan nilai $1 billion (RM4.08 juta). Dua tahun selepas itu, pada 2014, Facebook menambah lagi aset digital mereka dengan membeli WhatsApp dengan harga yang lebih tinggi daripada nilai mereka mendapatkan Instagram iaitu dengan tanda harga $19 billion (RM77.6 juta).
Sehingga kini dilaporkan terdapat lebih 2.2 billion pengguna Facebook di seluruh dunia. Satu angka yang cukup besar menggambarkan secara langsung apa yang telah dicapai oleh Facebook setelah 15 tahun.
Suka atau benci, Facebook telah berjaya menempatkan diri dan status mereka dalam kalangan elit sejarah peradaban dan teknologi manusia. Dari anak muda yang baru nak up, ke kelompok yang sudah berkerjaya hinggalah ke geng-geng masjid, Facebook adalah sebahagian daripada kehidupan kebanyakan dalam kalangan kita. Ia akan terus popular dan gah, sekurang-kurangnya sehingga nanti ada entiti besar lain yang seterusnya datang untuk menggantikannya.