Seorang pereka laman web di Filipina telah menamakan anak lelakinya Hypertext Mark-up Language Rayo Pascual sebagai penghargaan kepada pekerjaannya.
Mac Pascual, seorang pereka laman web itu merupakan seorang bapa yang bertanggungjawab dalam memberikan nama yang cukup aneh dan unik itu kepada anak lelakinya.
Bapa tersebut berkata bahawa pemberian nama yang unik itu adalah merupakan salah satu tradisi keluarga mereka sejak dahulu lagi. Sebagai contoh, namanya sendiri, Mac ialah singkatan bagi Macaroni 85.
Mac juga mempunyai seorang adik perempuannya yang bernama Spaghetti 88 dan nombor pada nama mereka itu merepresentasikan tahun mereka dilahirkan.
Spaghetti 88 turut menyambung legasi nama bertemakan makanan kepada kedua-dua anaknya iaitu Cheese Pimiento dan Parmesan Cheese yang lebih dikenali dengan gelaran Chippy dan Peewee.
Hypertext Mark-up Language Rayo Pascual yang bakal digelar dengan singkatan HTML, telah dilahirkan di Bulacan Medical Mission Group Cooperative Hospital dengan berat 2.23 kilogram.
Ibu saudara HTML yang bernama Sincerely Yours Pascual telah memuat naik gambar di laman Facebooknya berserta kapsyen “Selamat datang ke dunia, HTML,” pada 10 Jun yang lalu bagi menyambut kedatangan ahli keluarganya yang baru itu.
Hantaran di Facebook tersebut akhirnya tular dan telah menerima lebih dari 2,000 komen serta telah dikongsikan hampir 9,000 kali oleh warganet.
Perkara tersebut telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet yang mengucapkan tahniah namun ada juga yang turut memberikan komen-komen negatif terhadap penamaan anak yang unik dan aneh itu.
Sesetengah reaksi daripada warganet adalah dengan mengejek nama tersebut dan telah membuat sindiran dan jenaka dengan mencadangkan pelbagai jenis akronim koding lain untuk nama anak-anaknya akan datang.
Beberapa juga yang turut menzahirkan rasa bimbang mereka terhadap masa depan anak lelaki itu kerana anak itu akan membesar dengan potensi untuk dibuli oleh rakan-rakannya.
Nama HTML telah direkodkan sebagai salah satu nama bayi yang unik seperti anak CEO Tesla Elon Musk yang telah dinamakan sebagai X Æ A-12 setelah kelahirannya pada Mei 2020.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: