Selain Nora Anne, Ini Satu Lagi Tragedi Yang Menimpa Seorang Pelancong Perancis Di Pulau Tioman

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar menjadi tragedi buat remaja perempuan warga Ireland iaitu Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari resort penginapan keluarganya.

Dalam pada itu, nasib malang yang menimpa gadis berusia 15 tahun tersebut telah mengingatkan saudara Izzat Ikhwan yang merupakan Peguam Bela & Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaysia terhadap satu lagi kes yang pernah menggemparkan negara beberapa tahun yang lepas.

Pada tahun 2011, seorang wanita warganegara Perancis iaitu Stephanie Foray telah berkunjung ke Pulau Tioman untuk bercuti. Wanita berkenaan menaiki feri menerusi Jeti Mersing dan tiba di pulau itu pada 10 Mei 2011.

Namun begitu, keluarga Stephanie tidak menerima sebarang khabar berita semenjak anak mereka tiba di Pulau Tioman lalu melaporkan kehilangannya kepada pihak berkuasa. Berdasarkan rekod keluar masuk pulau tersebut, hanya ketibaan Stephanie yang dicatat namun tiada rekod yang menunjukkan wanita itu keluar dari lokasi berkenaan.

Oleh sebab itu, pihak polis memutuskan untuk melakukan pencarian secara besar-besaran di Kampung Tekek, Pulau Tioman iaitu lokasi di mana Stephanie dipercayai kali terakhir dilihat.

Hasil daripada siasatan itu, polis berjaya menemukan beberapa klu daripada orang ramai yang membawa kepada penahanan seorang penduduk di kawasan itu iaitu Asni Omar. Suspek yang berusia 44 tahun itu mempunyai perniagaan homestay di kampung tersebut.

Seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Radzi Omar turut ditahan. Dia merupakan abang kepada Asni Omar yang merupakan suspek utama dalam kes ini. Radzi dipercayai membantu menguruskan homestay milik Asni.

Berdasarkan siasatan pihak polis, penduduk Kampung Tekek mendakwa bahawa Stephanie pernah dilihat menaiki motosikal mengelilingi kampung bersama dengan suspek utama.

Setelah disoal siasat, Asni telah membawa pihak polis ke sebuah gua di pulau tersebut. Lokasi gua itu tidak jauh dari homestay milik suspek iaitu kira-kira beberapa ratus meter sahaja.

Beberapa rangka tulang yang dipercayai tulang manusia telah dijumpai di dalam gua itu. Rangka tersebut ditimbus dan ditanam dalam sebuah lubang sedalam 3 meter. Pada masa yang sama, satu tilam dan bantal tidur serta beberapa cebis pakaian wanita turut ditemui di dalam lubang itu.

Asni memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah membunuh mangsa dengan menggunakan botol arak yang telah pecah. Namun begitu, polis tidak menjumpai senjata pembunuhan yang digunakan oleh suspek.

Pencarian senjata pembunuhan terus dilakukan pihak polis dan usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya menjumpainya di kawasan kebun yang terletak berhampiran homestay suspek.

Menurut Asni, Stephanie pernah menginap di homestay itu dan mereka berdua sering menghabiskan masa bersama di Pulau Tioman.

Kes ini kemudiannya dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah Kuantan. Hari demi hari, semua kisah di sebalik kes ini dibongkarkan sendiri oleh suspek utama. Menurut Asni, Stephanie telah memaksanya untuk membenarkannya tinggal di homestay tersebut. Pada mulanya, dia menolak permintaan itu namun mangsa dikatakan berjaya meyakinkan suspek.

Pada hari pertama Stephanie menginap di homestay suspek, mereka dikatakan keluar makan malam bersama dan berkunjung ke Taman Laut. Namun begitu, suspek memberitahu dia telah meninggalkan mangsa bersendirian kerana terpaksa pulang ke rumah bagi menelefon kekasihnya. Pendakwa raya bagaimanapun ragu dengan penjelasan suspek memandangkan dia boleh sahaja menghubungi mangsa dari Taman Laut itu menggunakan telefon bimbit.

Suspek kemudiannya membuat satu lagi kenyataan di mana Stephanie yang meminta untuk ditinggalkan sendirian. Namun begitu, pihak pendakwa raya masih ragu-ragu dengan perkara itu dan percaya bahawa ada benda lain yang cuba disembunyikan suspek.

Menurut laporan, suspek dipercayai merupakan seorang peminum arak tegar dan sering kali mabuk. Suspek bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dia telah meminum arak pada malam kejadian.

Kertas pendakwaan juga melaporkan bahawa suspek telah menghancurkan kamera milik Stephanie kerana ia mengandungi banyak gambar mereka berdua bersama.

Semasa siasatan polis dilakukan di lokasi suspek dan mangsa menginap, kesan darah dapat dilihat di dinding bilik yang didiami Stephanie.

Pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan melaporkan bahawa mayat mangsa ditemui dalam keadaan berbungkus seakan-akan mumia. Keadaan mayat mangsa tidak dapat dikenal pasti menerusi mata kasar kerana keadaannya yang hancur dan cuma tinggal tulang sahaja.

Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan oleh Dr Sri Marni, terdapat kesan kecederaan pada rangka tulang kepala mangsa. Pakar forensik turut mendedahkan bahawa terdapat empat kesan retak di tulang wajah Stephanie menunjukkan mangsa telah diseksa dengan kejam sebelum dibunuh.

Berdasarkan sampel yang diambil daripada kemaluan mangsa, kemungkinan besar wanita malang itu telah dirogol memandangkan terdapat kesan air mani. Walau bagaimanapun, pakar forensik tidak dapat memberi jawapan sama ada hubungan seksual itu berlaku sebelum ataupun selepas mangsa dibunuh kerana keadaan sampel yang telah reput.

Tambah pakar forensik itu lagi, ujian etimologi mendapati mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia sekurang-kurangnya dalam masa empat minggu hingga tiga bulan dari tarikh rangka tersebut ditemui.

Pihak pembelaan bagaimanapun mengatakan bahawa mangsa meninggal dunia akibat terjatuh dan bukannya dibunuh. Namun begitu, dakwaan tersebut tidak diterima sama sekali oleh pihak mahkamah.

Pada 9 Julai 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Kuantan iaitu DS Mariana Yahya telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Asni Omar setelah mendapati cerita syaitan bertopengkan manusia itu hanyalah sebuah rekaan semata-mata yang dibuat secara teliti.

Asni telah membuat rayuan hingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan namun pada 2016, hukuman mati ke atasnya dikekalkan. Rayuan yang dibuat itu ditolak oleh Tun Arifin dan tiga orang hakim lain.

Artikel Lain Untuk Di Baca