Sekolah Di India Lakukan Majlis Konvokesyen Secara ‘Drive Thru’

Wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia secara tidak langsung telah menjejaskan kebanyakan majlis keramaian. Ini termasuklah majlis konvokesyen di sekolah dan universiti yang kebanyakannya dibatalkan secara serta merta bagi mengelakkan pengumpulan beramai-ramai.

Namun, lain pula yang berlaku di sebuah sekolah di Bengaluru, India iaitu Canadian International School apabila mereka melakukan majlis konvokesyen secara ‘drive thru’ atau pandu lalu.

Ibu bapa dan para pelajar hanya perlu menaiki kereta masing-masing ke kawasan padang bola sepak. Para guru kemudiannya akan mengucapkan tahniah sekaligus menyerahkan sijil kepada pelajar yang hadir.

Walaupun majlis hanya diadakan secara ‘drive thru’, para pelajar masih lengkap memakai jubah konvokesyen. Majlis ini turut dimuat naik di Facebook Canadian International School bagi memastikan pelajar sesi 2020 mempunyai kenangan di majlis konvokesyen mereka.

Hantaran itu turut disertakan gambar-gambar yang menunjukkan kemeriahan majlis dan kegembiraan para pelajar yang telah tamat pengajian.

Inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah ini, telah menarik perhatian ramai yang turut kagum dengan usaha yang dilaksanakan mereka. Pada ketika ini, rata-rata pelajar yang menanti hari konvokesyen berasa sedih dengan pembatalan majlis yang dinanti-nantikan sepanjang pembelajaran mereka.

Sebelum ini, universiti di Jepun juga turut menggunakan pendekatan kreatif dengan memilih robot sebagai pengantaraan bagi menggantikan graduan pada majlis konvokesyen.

Untuk membaca artikel lain berkaitan negara India, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca