Manusia sering cakap yang kita tidak boleh nilai seseorang itu daripada luaran semata-mata. Mana yang berpakaian sopan belum tentu lagi baik. Mungkin yang berpakaian persis ‘Mat Salleh’ dan tidak cukup kain itu jauh lagi suci hatinya berbanding mereka yang bertutup litup. Sesungguhnya, tiada siapa yang tahu hati budi manusia melainkan Allah SWT.
Pepatah Inggeris pula ada mengatakan, “Don’t judge a book by its cover”. Maksudnya sama sahaja, cuma kalau rasa nak nampak hebat sikit, versi Inggeris yang akan diguna pakai oleh masyarakat kita. Walaupun tidak dapat disangkal lagi bahawa apa yang kita lihat di luar tidak mencerminkan apa yang terbuku di dalam, tetapi ada masa di mana pakaian itu menjadi aspek yang penting.
Apabila kita berjumpa dengan seseorang, sudah tentulah luaran yang bakal dilihat terlebih dahulu. Memang sudah jadi lumrah manusia, pakaian yang akan menjadi tanggapan utama masyarakat kita. Rata-rata kini berlari-lari untuk bergaya seperti selebriti luar negara. Kadang-kadang, yang Melayu pun dah tak nampak rupa Melayu disebabkan pakaian.
Macam mana adat resam berpakaian cara Melayu sebenarnya? Menjelang Aidilfitri pula, baju Teluk Belanga dan Cekak Musang tiba-tiba menjadi popular dan dicari oleh semua orang. Bagaimana sejarah baju-baju ini sehingga ia menjadi pakaian orang Melayu? Kesemua persoalan ini terdapat jawapannya dalam sebuah buku yang berjudul Patut Pakai Melayu karya Dato’ Haji Muhamad Said Haji Sulaiman.
Teluk Belanga Dan Cekak Musang
Kedua-dua baju ini sangat popular khususnya di negeri Johor dan Kepulauan Riau. Terdapat pelbagai variasi baju Teluk Belanga yang boleh dipakai oleh lelaki mahupun perempuan tetapi bagi baju Cekak Musang pula, ia cuma khusus untuk lelaki.
Menurut Dato’ Haji Muhamad Said, baju kurung Teluk Belanga pada asalnya mula diperkenalkan di Singapura pada tahun 1862 iaitu ketika Temenggung Abu Bakar ditabalkan menjadi Temenggung Johor menggantikan ayahanda, Temenggung Ibrahim Sri Maharaja.
Ada kisah di sebalik nama Teluk Belanga itu. Ia sebenarnya diambil sempena nama kawasan kediaman Temenggung Johor di daerah Teluk Belanga, Singapura yang kini lebih dikenali sebagai Harbour Front. Pemilihan nama ini juga bagi membezakan baju itu dengan baju-baju lain seperti baju pesak sebelah, baju kurung, baju kebaya dan sebagainya.
Pada awal kemunculan baju kurung Teluk Belanga, ia mempunyai beberapa ciri khas termasuklah labuhnya (bawah pinggang bagi lelaki dan melebihi paras lutut bagi perempuan), alas leher (lebar bagi lelaki dan halus bagi perempuan) dan kocek ataupun saku di mana bagi lelaki, baju itu akan mempunyai 2 kocek dan tanpa kocek bagi perempuan.
Ketika pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Abu Bakar, ciri-ciri tadi diubah di mana labuh bagi lelaki adalah pada paras pinggang manakala bagi perempuan pula paras lutut. Leher baju bagi kedua-dua jantina pula halus dan 1 kocek tampil membuat kemunculan di baju perempuan.
Baju Cekak Musang juga bermula di Teluk Belanga, Singapura. Pada suatu ketika dahulu, ia merupakan satu corak baju Melayu yang disebut sebagai ‘baju Wan’. Ia digelar sedemikian sempena nama seorang penduduk Teluk Belanga iaitu Haji Wan Othman.
Pada suatu hari, Haji Wan Othman mengenakan baju Cekak Musang ketika menghadap raja. Sejurus melihat keindahan baju itu yang diiringi dengan beberapa butang yang diperbuat daripada emas dan permata, raja itu terus jatuh hati dengan baju itu.
Bermula dari hari itu, baju Cekak Musang menjadi pakaian bagi anak-anak raja dan orang-orang besar dalam istiadat istana di Johor.
Panduan Pakaian Melayu
Dalam bahasa Melayu, perkataan pakai mempunyai maksud yang cukup luas. Secara kontekstual, ia bermaksud membubuhi, menjalankan, mematuhi, wajib, menegahkan akan sesuatu dan sebagainya.
Secara leksikal pula, perkataan pakai membawa maksud menggunakan, mengenakan dan memakai. Apabila perkataan pakai berubah bentuk menjadi pakaian, ia bukan sekadar bermaksud baju yang dipakai di badan seseorang, tetapi juga merangkumi segala kelengkapan dan perhiasan.
Dalam konteks ini, pakaian juga boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang biasanya digunakan, amalan, kebiasaan dan banyak lagi. Sebagai contoh, “Carutan dan makian memang dah jadi pakaiannya”.
Pelbagai penjelasan tentang bentuk dan model baju orang Melayu di Johor terkandung dalam buku Pakai Patut Melayu. Apa yang patut dan tidak patut dalam aturan berpakaian masyarakat Melayu juga ada dijelaskan dalam buku ini.
Dato’ Haji Muhamad Said juga ada menjelaskan maksud serta tujuan beliau menulis buku ini di bahagian pendahuluan.
“Adalah risalah ini dikarang supaya jadi suatu panduan atas mereka yang belum dapat ketahui akan tertib pakaian Melayu. Terutamanya yang dipakai dalam (daerah) Johor bagi masa yang ada (zaman ketika risalah ini ditulis) dan bagi menjadi suatu ingatan pada tempoh yang di belakang (masa yang akan datang), kiranya berlaku apa-apa perubahan atau pindaan (perbaikan) sama ada sedikit atau banyak.”
Selain itu, buku ini juga ada menceritakan sejarah di sebalik busana orang Melayu. Aturan memakai, fungsi dan jenis baju bermula daripada pakaian lelaki dan perempuan dewasa hingga kanak-kanak turut terdapat dalam naskah ini.
Pengaruh budaya ‘orang putih’ dalam berpakaian juga dijelaskan dalam buku klasik ini. Menurut Dato’ Haji Muhamad Said, ‘pakaian kacukan’ Melayu dan Barat ini dipakai oleh orang Melayu di Johor dan Singapura pada awal abad ke-20 ketika pergi ke pejabat dan ketika bergaul dengan orang Barat.
Buku Patut Pakai Melayu ini mempunyai 50 muka surat dan mengadungi 7 Bab. Bab akhir buku ini dipenuhi dengan peringatan dan nasihat pengarang terhadap orang Melayu tentang apa amalan, resam dan pakaian yang patut dipakai dan tidak patut dipakai oleh orang Melayu.
Sesungguhnya, walau di mana pun kita berada, semoden mana pun peralihan zaman yang kita alami sekarang, adat Melayu tidak seharusnya dilupakan. Ia merupakan sebahagian daripada identiti kita semua.