Sehingga Jam 8 Pagi Tadi, Mayat Nora Anne Masih Belum Dituntut Keluarga

Setakat jam 8 pagi ini, mayat remaja perempuan warga Ireland iaitu Nora Anne Quoirin yang berada di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dilaporkan masih belum dituntut oleh ahli keluarganya.

Menurut laporan Sinar Harian, perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Nilai iaitu Superintendan Mohd Nor Marzuki Besar. Malah, pihak polis juga tidak dapat memastikan bila mereka akan menuntut mayat remaja tersebut.

“Mayat tidak dituntut lagi, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

Pada sidang media yang diadakan semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan iaitu Datuk Mohamad Mat Yusop memaklumkan bahawa keluarga dibenarkan menuntut mayat remaja berusia 15 tahun itu pada bila-bila masa.

Namun begitu, keluarga Nora Anne setakat ini dipercayai masih belum membuat apa-apa persiapan berkenaan perkara tersebut.

Prosedur bedah siasat bagi mengetahui punca kematian Nora Anne dilakukan pada jam 11.45 pagi Rabu dan selesai lebih 10 jam kemudian.

Proses tersebut dikendalikan oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng dan Pakar Forensik HTJ, Dr Hanif Mohammad. Pihak polis memaklumkan bahawa punca kematian gadis tersebut adalah disebabkan kebocoran usus ekoran tidak makan dalam tempoh yang lama.

Selain itu, terdapat juga kesan calar kecil pada bahagian kaki mangsa namun pihak berkuasa menafikan sekeras-kerasnya tentang dakwaan terdapat unsur jenayah dalam kematian Nora Anne.

Walau bagaimanapun, datuk kepada Nora Anne tampil menyatakan dia percaya ada sesuatu yang tidak kena dengan laporan bedah siasat itu dan yakin terdapat elemen jenayah dalam kematian cucu kesayangannya itu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca