Sehari Sebelum Berkahwin, Lelaki Ini Kirim Mesej Penuh Emosi Buat Bekas Kekasih

Baru-baru ini, mesej penuh emosi yang dikirimkan oleh seorang lelaki kepada bekas kekasihnya sehari sebelum dia melangsungkan perkahwinan tular di media sosial dan berjaya mencuri perhatian warganet. Perkongsian tersebut ternyata menyentuh hati ramai orang.

Perbualan antara pasangan yang pernah bercinta itu dikongsi oleh penerimanya yang dikenali sebagai Alexsa Sanchez Aguilar di laman Twitter dengan kapsyen, “I’m speechless.”

Menerusi mesej itu, lelaki itu pada mulanya bertanyakan sama ada nombor itu masih digunakan oleh wanita yang pernah memiliki hatinya pada suatu ketika dahulu. Setelah Aguilar mengeyakan perkara itu, lelaki tersebut lantas memberitahu namanya dan bertanya sama ada dia masih mengingatinya.

Lelaki tersebut kemudiannya menghantar satu ‘esei’ yang mampu membuat sesiapa sahaja membacanya mengalirkan air mata. Dia memberitahu bahawa dia bakal menamatkan zaman bujangnya pada hari esok dan memang berniat untuk menghantar coretan itu kepada Aguilar. Pada masa yang sama, lelaki itu juga menekankan bahawa tunangnya tahu akan perkara itu (kiriman mesej).

Dia berterima kasih kepada Aguilar kerana menjadi cinta pertamanya. Dia juga berterima kerana Aguilar sentiasa berada di sisinya sewaktu dia melalui detik sukar dalam hidupnya.

Perkongsian itu mendapat lebih 100,000 ulang kicau dan hampir 500,000 tanda suka. Rata-rata menyifatkan bekas teman lelaki Aguilar sebagai seorang yang sangat matang.

https://twitter.com/okk_emi/status/1152579587223613442

Tidak kurang juga ada yang mempersoalkan tindakannya yang menhantar pesanan tersebut sehari sebelum melangsungkan perkahwinan.

Sementara itu, Aguilar ketika ditemu ramah Buzzfeed memberitahu mesej yang diterimanya itu membuatkan dirinya terkedu. Dia juga mengaku bahawa dia terus menangis sebaik sahaja membaca coretan bekas teman lelakinya itu.

Apabila disoal berkenaan reaksi negatif daripada warganet yang mempersoalkan niat lelaki itu, Aguilar menyifatkan ia bukanlah sesuatu yang pelik. Mereka telah melalui saat yang sangat sukar bersama terutamanya sewaktu rakan baik mereka bertindak mengambil nyawanya sendiri. Ujar Aguilar, meski apa pun yang berlaku, mereka akan tetap menghormati antara satu sama lain.

Pasti semua tertanya-tanya, apakah motif Aguilar berkongsi perkara itu di laman Twitternya? Menurut wanita tersebut, dia cuma mahu membuktikan bahawa hanya kerana sesuatu hubungan itu tidak berhasil dan tidak mempunyai pengakhiran seperti dalam cerita dongeng, ia tidak bermaksud kita perlu membenci mereka. Sesuatu yang terjadi pasti ada sebabnya.

Ada betulnya juga apa yang diperkatakan itu. Setiap individu yang diaturkan untuk datang ke dalam hidup kita pasti ada sebabnya meskipun pengakhirannya tidak seperti yang kita impikan. Apa-apa pun, penulis sangat respek Aguilar dan bekas teman lelakinya kerana masing-masing sangat matang walaupun sudah tidak bersama lagi.

Artikel Lain Untuk Di Baca