“Sedih, Sayu, Sampai Menitik Air Mata,” Jururawat Ini Dedah Kisah Di Wad Pesakit Tabligh

Jumlah yang positif COVID-19 di negara ini telah dicatatkan sebanyak 1,796 kes setakat Rabu. Daripada jumlah itu, sebahagian besar merupakan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari sehingga 1 Mac lalu.

Dilaporkan seramai 16,000 peserta program itu terdiri daripada 14,500 warga Malaysia, manakala 1,500 peserta warga asing daripada 25 buah negara.

Saban hari, pihak kerajaan Merayu agar jemaah tabligh membuat ujian saringan kesihatan sehingga menyebabkan golongan ini dikecam ramai pihak.

Namun demikian, di sebalik kata-kata dan pandangan yang dilemparkan terhadap golongan ahli tabligh, terdapat seorang jururawat sebak menceritakan pengalamannya mengendalikan pesakit tabligh yang positif COVID-19.

Tular menerusi aplikasi ‘story‘ yang dikongsikan melalu WhatsApp, jururawat tersebut menggambarkan suasana wad yang dipenuhi pesakit jemaah tabligh.

“Bila masuk ke dalam wad itu, terasa seperti masuk ke dalam masjid. Kebanyakan berjubah, ada yang berkopiah dan berserban. Mereka semua hanya tersenyum.

Sedih, sayu, sampai menitik air mata. Mereka yang berada di dalam wad itu semua orang yang tinggi ilmu agamanya,” katanya.

Jururawat tersebut menyifatkan semua pesakit positif COVID-19 yang terlantar di wad itu cukup menyenangkan mereka sebagai petugas barisan hadapan (frontliner).

Menurut jururawat itu, dia berasa tersentuh dengan sikap segelintir daripada mereka yang sanggup menghulurkan bantuan di saat keadaan sedang genting.

“Mereka sering bertanya jika ada apa-apa yang boleh dibantu. Kadang-kadang terdetik di dalam hati, mengapa Allah tidak gantikan manusia-manusia yang jahat di muka bumi ini dengan mereka.

Namun, Allah maha mengetahui bahawa orang-orang yang beriman akan sering diuji,” tambahnya.

Walaupun keletihan menjaga 30 orang pesakit, jururawat itu lebih berasa simpati terhadap golongan jemaah tabligh tersebut.

“Rasa kasihan dan simpati terhadap mereka itu sangat tinggi kerana mereka tidak langsung menyusahkan, malah sangat baik. Berhentilah mengecam golongan tabligh,” katanya.

Jururawat tersebut turut mendoakan agar kesemua pesakit positif COVID-19 segera sembuh dan segala urusan merawat mereka berjalan dengan lancar.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19, klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca