Berikutan isu yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini melibatkan pendakwah terkenal iaitu Ustaz Ebit Lew dan juga Ustaz Abu Syafiq, pelbagai pendapat dan reaksi orang ramai dapat dilihat. Isu ini bermula apabila Ustaz Abu dikatakan menyelar tindakan Ustaz Ebit berkenaan isu memberi bantuan sambil merakam foto serta video golongan miskin. Ustaz Abu menyatakan bahawa perbuatan sebegitu itu salah dan hukumnya haram kerana ia dikatakan membuka aib golongan miskin tersebut.
Tidak terhenti di situ, Ustaz Abu juga seakan memerli usaha murni Ustaz Ebit yang memberi bantuan ekoran setiap perbuatan itu dirakam dan dikongsi di laman sosial sekali gus dipertonton oleh jutaan orang.
Ustaz Abu juga tampil mencabar semua Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada golongan memerlukan supaya mempamerkan jumlah duit yang NGO itu miliki. Beliau berpendapat sedemikian kerana prejudis terhadap sesetengah NGO menyalahgunakan duit sumbangan orang ramai itu.
Susulan itu, seorang motivator dan juga penceramah iaitu Ustaz Amin Idris tampil memuat naik satu hantaran di laman Facebook peribadinya. Hantaran itu seakan memerli perbuatan Ustaz Abu.
Kapsyen yang ditulis oleh Amin Idris itu menyatakan langkah-langkah untuk menjadi seperti Ustaz Abu. Tulisan tersebut mempamerkan sikap dan cara Ustaz Abu dalam isu menyelar beberapa perkara.
Selepas beberapa hari hantaran itu dibuat, Amin Idris menerima sepucuk surat daripada peguam Ustaz Abu Syafiq.
Surat itu menuntut Amin Idris untuk meminta maaf dan tuntutan saman sebanyak RM1 juta.
“Pertama, menuntut saya meminta maaf tanpa syarat di semua medium dan permohonan maaf tersebut mesti diluluskan oleh Ustaz Abu Syafiq.
“Kedua, Ustaz Abu Syafiq juga menuntut RM1 juta daripada saya sebagai ganti rugi kerana hantaran saya.
“Ketiga, menurut peguam Ustaz Abu Syafiq, hasil daripada hantaran tersebut, anak guam kami telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat termasuklah beratus-ratus kecaman dan/atau ugutan dan/atau komen-komen yang sinis dan tidak benar, menjatuhkan reputasi dan mencalarkan kredibiliti serta mendatangkan kerugian kepada anak guam.
“Saya diberi masa 7 hari untuk mohon maaf dan bayar RM1 juta kepada Abu Syafiq,” tulis Amin Idris.
Walau bagaimanapun, Amin Idris tidak gentar dengan tuntutan saman itu dan sedia bersemuka dengan Ustaz Abu Syafiq di mahkamah.
Amin Idris menyatakan bahawa beliau sudah meminta peguam yang mewaklinya membalas surat tuntutan itu. Beliau juga nekad untuk tidak memohon maaf dan membayar RM1 juta seperti yang dituntut oleh Ustaz Abu Syafiq.
Diharapkan isu ini dapat diselesaikan dan tidak diperbesarkan. Semoga kedua-dua mereka mencapai kata sepakat yang boleh mendatangkan kebaikan kepada semua.
Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: