Sebut sahaja Agnez Mo, pasti semua mengenali penyanyi yang mempunyai suara yang cukup mantap ini. Nama Agnez yang terkenal menerusi lagu berjudul Matahariku itu kini hangat diperkatakan bukan kerana single terbaharunya tetapi kerana satu kenyataan yang keluar daripada mulutnya.

Baru-baru ini, Agnez telah mengeluarkan satu kenyataan dalam satu program temu bual di mana dia mengakui bahawa dirinya langsung tiada darah Indonesia. Pada masa yang sama, Agnez juga menegaskan yang dia cuma lahir di Indonesia sahaja dan bukannya berdarah Indonesia.

Ada kacukan Jerman, Jepun dan China

Penyanyi yang kini menetap di Amerika Syarikat itu diundang ke program temu bual Build by Yahoo! untuk mempromosikan single terbaharunya iaitu Diamond. Ketika ditemu bual, Agnez ada bercerita tentang dirinya dan budaya serta muzik di Indonesia. Dia juga ada menjelaskan bahawa dirinya memang tiada darah Indonesia.

“Sebenarnya saya tak ada darah Indonesia. Saya ada darah Jerman, Jepun dan China sahaja. Saya cuma lahir di Indonesia,” jelas Agnez.

Dalam video itu, Agnez juga ada menjelaskan berkenaan keagamaan di Indonesia. Menurut Agnez, dia merupakan kaum minoriti di negara tersebut.

“Saya merupakan seorang yang beragama Kristian dan majoriti di sana (Indonesia) beragama Islam. Saya tak kata yang saya tak layak tinggal di sana kerana mereka boleh terima saya seadanya, cuma saya selalu fikir yang saya ini lain dan tak macam mereka,” ujar penyanyi yang berusia 33 tahun itu.

Agnez dilabel kacang lupakan kulit oleh warganet

Video tersebut telah menjadi tular di media sosial dan rata-rata warganet terutamanya dari negara jiran beranggapan bahawa kenyataan dikeluarkan Agnez itu adalah keterlaluan.

Agnez juga dilabel kacang lupakan kulit kerana kenyataan itu.

Dalam pada ramai yang melemparkan kecaman terhadapnya, ada juga segelintir yang berpendapat bahawa kenyataan yang dikeluarkan Agnez itu tidak salah sama sekali kerana dia berbicara soal keturunan dan bukannya kewarganegaraan.

Agnez tampil buka mulut untuk jawab kecaman warganet

Sedar yang orang ramai mengecam kenyataan yang dikeluarkannya, penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu berjudul Tak Ada Logika itu tampil memperjelaskan isu sebenar menerusi laman Instagram.

“Saya dilahirkan dalam budaya yang pelbagai. Saya cuba untuk pertahankan keterangkuman budaya. Bhinneka Tunggal Ika membawa maksud perpaduan dalam kepelbagaian. Saya akan sentiasa jujur kepada dunia bagaimana kaum minoriti seperti saya diberi kesempatan untuk mengejar impian,” coret Agnez.

Pada pendapat penulis, apa yang Agnez katakan itu tidak salah. Dia cuma menjelaskan asal usul dan keturunannya. Jadi, jangan terlalu mudah untuk label seseorang itu sebagai lupa diri.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda