Adalah satu situasi biasa apabila manusia berhimpun dalam kalangan ahli keluarga atau teman-teman untuk meraikan ulang tahun hari lahir seseorang. Dengan kek dan lilin serta diiringi nyanyian, “Happy birthday to you,” ia adalah antara acara yang sering diadakan di mana-mana negara dan ceruk dunia sekali pun.
Mungkin juga bukan satu perkara luar biasa atau janggal jika ada yang turut melakukan sambutan yang sama bagi meraikan hari lahir binatang kesayangan seperti kucing, anjing dan sebagainya.
Namun, pernahkah anda terfikir bahawa pernah diadakan satu upacara keraian bagi menyambut ulang tahun kejadian sebiji mentol sempena hari jadinya yang ke-110? Pelik bukan? Tapi percayalah yang ia benar-benar berlaku. Parti hari jadi comel ini telah diadakan di sebuah balai bomba yang terletak di Livermore, California. Di situ hidupnya sebiji mentol yang diberi nama Mentol Centennial. Sehingga artikel ini ditulis umur mentol tersebut telah pun mencapai usia 118 tahun!
‘Grow Longer In Livermore, 1901-2011’ – itulah yang tertera pada kek sambutan hari jadi mentol otai ini. Kemungkinan besar umur hampir semua yang hadir pada acara sambutan tersebut adalah jauh lebih muda daripada Mentol Centennial yang diraikan pada hari itu.
Pada tahun 1972, mentol ini telah diiktiraf oleh Guiness World Records sebagai ‘The World’s Longest-Lasting Light Bulb’. Hebat bukan? Jauh benar perbezaannya dengan jangka hayat mentol dan lampu yang kita gunakan pada hari ini.
Ini adalah artikel pemanas badan untuk tulisan seterusnya yang akan mengupas tentang konspirasi mentol cahaya. Ia sedikit sebanyak berkait dengan Mentol Centennial ini yang mampu hidup cukup lama dan perbezaanya dengan mentol-mentol yang dihasilkan selepas itu sehinggalah sekarang yang jangka hayatnya sangatlah pendek.
Apa pun, dirgahayu Mentol Centennial!