Sebelum Masuk Penjara, Najib Razak Titip Pesanan Akhir Untuk Keluarga

Bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak meninggalkan nota di atas meja untuk ahli keluarganya selepas beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bermula semalam.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Perdana Menteri Malaysia keenam itu menyatakan bagaimana tempoh 46 tahun berkecimpung dalam dunia politik dan perkhidmatan awam telah mengambil seluruh masanya.

“Keluargaku, anak cucuku. Dari tahun 1976, Daddy mula aktif dalam politik dan perkhidmatan awam sepenuh masa. Ke hari ini, 46 tahun lamanya. 46 years is a long time. Daddy memilih mewarisi legasi nenda, meneruskan usaha nenda. Daddy memilih kerja,” ujarnya.

Sumber: Instagram Najib Razak

Walaupun tidak pernah kesal memilih meneruskan legasi bapanya iaitu Tun Abdul Razak Hussein, apa yang meruntun hatinya adalah pilihan itu membuatkan beliau terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.

“Dunia politik dan perkhidmatan awam ada kelebihan dan kekurangannya. Merancang pembangunan. Menggubal dasar kebajikan. Mengurus ekonomi. Mengukuhkan hubungan antarabangsa. Menyelesaikan krisis.

Cabaran-cabaran ini dengan hasilnya yang baik membawa senyuman kepada Daddy. Adakalanya hasil yang diharapkan tidak sebaik yang diinginkan tetapi cuba lagi dan lagi.

Melihat kembali, ia satu pengorbanan besar. Tahun-tahun dan masa-masa yang ada datang dan berlalu begitu sahaja.

Dari subuh ke larut malam, ada saja urusan yang perlukan perhatian. Masa makan pun bermesyuarat, berjumpa tetamu, tidak bersama you all (keluarga).

My years have gone by dedicated to people, public service, politics. A sacrifice I chose and I made. A journey that was joyous with your presence but unfortunately I overlooked and could not always be there for you.

Satu perjalanan yang sedih sekali diserikan dengan kehadiranmu tetapi tidak terbalas oleh Daddy,” tambahnya.

Sumber: Instagram Najib Razak

Meskipun hukuman penjara yang dijalani beliau memisahkan mereka sekeluarga, Najib seakan-akan reda dengan situasi itu menerusi nota beliau kepada ahli keluarganya.

“Setakat ini sahaja yang Daddy dapat bersama. Daddy pegang teguh kepada ajaran agama Islam. Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT, apalah daya Daddy manusia dan hamba-Nya.

Menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat. Di dunia kita hidup sementara, dibangkitkan di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana,” tulisnya.

Berita Harian melaporkan Mahkamah Persekutuan Malaysia mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd semalam.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca