Sebat Bukan Untuk Mencederakan, Tetapi Sekadar Peringatan Tegas – Musa Hassan

Berikutan isu polis menyebat remaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tindakan itu bukanlah untuk mencederakan, sebaliknya sekadar peringatan tegas kepada individu terbabit untuk tidak ingkar lagi arahan pihak berkuasa.

Bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan tersebut adalah wajar ketika negara berhadapan situasi sukar dengan penularan COVID-19.

“Kerajaan sudah beri amaran akan mengambil tindakan tegas. Rakyat perlu akur dengan sebarang keputusan diambil pihak berkuasa.

“Tindakan sebat juga boleh dikenakan terhadap individu terutama remaja yang masih degil.

“Polis bukan rotan kuat pun, bukan macam rotan dalam penjara,” kata Musa Hassan.

Mengulas mengenai pandangan segelintir individu yang tidak bersetuju tindakan sebat itu, beliau berkata mereka perlu memahami maksud ungkapan ‘biar menangis sekarang daripada menangis di kemudian hari’.

“Lebih baik kita memberi peringatan tegas daripada tangkap mereka. Kalau boleh kita mahu elakkan remaja ini menyusahkan ibu bapa mereka.

“Nanti penjaga pula perlu pergi balai polis seterusnya naik turun mahkamah untuk menyelesaikan permasalahan timbul,” ujarnya lagi.

Terdahulu, polis dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap seorang pegawainya yang dilihat merotan enam remaja lelaki kerana ingkar PKP di Kunak, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah iaitu Datuk Zaini Jass berkata, jika dilihat dari sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tidak wajar, tetapi dari segi moral itu adalah umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang ingkar arahan.

Jadi kepada seluruh rakyat Malaysia, patuhlah arahan PKP ini untuk sama-sama kita bekerjasama membendung COVID-19 daripada terus menular. Jika anda patuh pada arahan, ia sekali gus meringankan kerja penguatkuasa untuk mengawal pergerakan semua dan mereka tidak perlu mengambil tindakan keras.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca