Sebak Dan Sayu Pada Awal Ramadan, Ebit Lew Turun Padang Support Peniaga Makanan

Perasaan teruja dan gembira dalam menyambut kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini pasti hadir setiap tahun. Keseronokannya turut dihadiri dengan pembukaan bazar Ramadan di seluruh Malaysia dan ini telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita. 

Bagi komuniti rakyat di negara kita, perniagaan itu adalah sumber utama rezeki mereka. Inilah pendapatan yang dicari atas dasar penat lelah dan usaha demi sejumlah pulangan untuk menyara diri dan keluarga. 

Baru-baru ini sahaja, iaitu pada hari pertama Ramadan, kita digemparkan di media sosial mengenai kejadian sedih yang ditimpa peniaga Yong Tau Fu di Bazar Ramadan Wangsa Maju. Warga netizen turut bersimpati dan saling menghulurkan bantuan demi meringankan beban dan kerugian peniaga tersebut.

Perkara ini tidak lari daripada perhatian Ebit Lew yang hadir sendiri untuk melawat gerai perniagaan tersebut. Beliau berkongsi rasa sebak akan ujian peniaga ini pada hari pertama berniaga di bazar. 

sumber: facebook

Dengan murah hatinya, beliau menghadiahkan tujuh khemah baru bagi tujuh peniaga yang tidak mempunyai khemah. Bukan itu sahaja, wang perbelanjaan turut diberikan kepada peniaga-peniaga ini bagi membantu sedikit sebanyak.

Belum sempat hari ketiga Ramadan melabuhkan tirai, Ebit Lew telah mengunjungi gerai-gerai jualan makanan untuk memborong. Cukup bagi 300 orang makan, nasi beriyani dan nasi tomato dibawa dalam periuk ke kawasan gelandangan untuk disedekahkan sebagai juadah berbuka puasa. Layanan sama-rata diberikan tanpa mengira bangsa atau agama.

“Nasib berbeza bagi setiap orang,” kata beliau. “Paling terharu bila mula buka belakang hilux dan senduk buat mereka. Semua beratur.” Ini luahan sayu Ebit Lew di laman sesawang Facebook beliau. 

Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Hidup perlu sentiasa toleransi dan saling membantu. Bersedekah dan beramal di bulan ramadan adalah perkara yang mulia. 

Bagi anda yang ingin sama-sama menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian di pertubuhan rasmi di bawah Ebit Lew iaitu Pertubuhan Kasih Umat Malaysia. Semoga ini menjadi asbab kebaikan kita bersama.

Artikel lain untuk dibaca:

Artikel Lain Untuk Di Baca