Sebahagian Mayat Dimakan Tikus, Pekerja Kaget Temui Mayat Reput Dalam Lubang Kumbahan

Beberapa orang pekerja yang membaiki lubang kumbahan di sebuah jalan raya di Colombus Circle, Manhattan, New York dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang telah mereput di dalam lubang berkenaan. Tambah mengerikan apabila mayat tersebut sudah dimakan tikus liar.

Rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki berkenaan berada dalam keadaan mabuk lalu terjatuh ke dalam lubang kumbahan yang terbuka sekitar jam 2.30 pagi pada 30 September lalu. Lelaki itu dikatakan telah melanggar pita larangan masuk yang telah dipasang oleh pekerja pembaikian.

Menurut seorang pekerja, lubang tersebut telah terbiar tidak berkawal kerana pekerja lain sedang melakukan kerja-kerja pembaikian di ruangan bawah tanah di West 58th Street dan Eight Avenue pada hari kejadian. Tiada siapa yang mengetahui bahawa lelaki terbabit sudah terjatuh ke dalam lubang berkenaan yang akhirnya ditutup tidak lama kemudian.

Pada pagi selasa 15 Oktober yang lalu, lubang terbabit dibuka semula dan ketika itulah pekerja pembaikan telah menemui mayat lelaki berkenaan yang sudah reput dan berada dalam keadaan terlentang di atas beberapa wayar.

Laporan polis mendapati mayat berkenaan telah reput dan sebahagiannya sudah menjadi santapan tikus liar.

“Baunya sungguh dahsyat,” ujar salah seorang pekerja.

“Ini kali pertama saya menjumpai perkara seperti itu di dalam lubang kumbahan. Saya benar-benar kaget,” tambahnya lagi.

Menurut ahli perubatan yang dipanggil ke lokasi, lelaki terbabit berkemungkinan besar merupakan seorang gelandangan dan berada dalam lingkungan umur 30 hingga 40 tahun.

Mayat mangsa sudah dikeluarkan daripada lubang kumbahan pada jam 8 pagi semalam. Orang awam yang lalu sekitar lokasi tersebut dilihat menekup mulut dan hidung mereka berikutan bau mayat yang sangat teruk.

Seorang wanita yang melalui kawasan kejadian berkata, dia amat pelik bagaimana kehadiran mangsa di dalam lubang itu tidak diketahui oleh sesiapa. Menurut wanita itu lagi, kejadian lubang kumbahan yang tidak ditutup memang sering terjadi di bandar terbabit. Namun, ini kali pertama kes seumpama itu dilaporkan berlaku.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca