Sebab Kenapa Kita Biasanya Mendapat Idea Menarik Ketika Sedang Mandi

Bagi kebanyakan manusia, mandi merupakan satu keperluan harian. Selain untuk tujuan membersihkan tubuh badan, mandi juga merupakan satu terapi atau cara untuk merehatkan diri. Sebab itulah biasanya badan yang kelesuan akan merasa segar selepas mandi.

Percaya atau tidak, ketika mandi sebahagian besar manusia biasanya akan terfikir mengenai idea-idea baru atau perkara menarik tentang pelbagai perkara. Sebagai contoh, sekiranya anda seorang jurutera atau pengaturcara, ada kalanya ketika sedang mandi inilah anda akan mendapat ilham atau solusi untuk penyelesaian sesuatu masalah yang sedang cuba diselesaikan.

Mungkin tidak semua manusia pernah mengalami perkara ini tetapi boleh dikatakan majoriti manusia pernah merasainya. Menurut satu kajian, sekitar 72% manusia biasanya akan mendapat idea kreatif atau ilham ketika sedang mandi.

Persoalannya, adakah perkara ini normal? Apakah terdapat penjelesan dari segi sains di sebalik perkara ini?

Fungsi Bahagian Prefrontal Cortex Pada Otak

Setiap bahagian otak mempunyai fungsinya yang tersendiri. Dalam hal ini, bahagian otak yang dikenali sebagai prefrontal cortex yang berfungsi menghasilkan idea-idea kreatif ketika sedang mandi.

Bahagian otak ini sememangnya diketahui berfungsi dalam merancang tingkah laku kognitif kompleks, ekspresi keperibadian, membuat keputusan dan mengawal tingkah laku sosial .

Apabila anda sedang memikirkan tentang sesuatu perkara, otak anda akan terlalu fokus untuk mencari penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan. Akibatnya, skop pemikiran akan menjadi kecil. Sebaliknya, apabila anda berehat, anda melepaskan perhatian ini, yang membolehkan korteks meneroka dan berfikiran luas.

Apabila anda sedang melakukan perkara yang dianggap tidak produktif seperti mandi atau memandu, rangkaian neural yang berkaitan dengan pemikiran sedar akan dinyahaktifkan dan rangkaian yang membentuk Rangkaian Mod Lalai (Default Mode Network – DMN), bersamaan dengan mod auto-perintis neurologi diaktifkan. Maka, lahirlah idea-idea kreatif tersebut.

Ketenangan Dan Kreativiti

Seorang ahli psikologi Scott Barry Kaufman, dalam satu persidangan dalam talian bersama 26 orang pakar dalam bidang ini mendedahkan 72% manusia akan mendapat idea kreatif ketika sedang mandi.

Secara umumnya, otak manusia akan akan melahirkan idea yang kreatif apabila mengalami salah satu daripada perkara berikut:

1. Penghasilan dopamine di otak. Aktiviti seperti mendengar muzik dan mandi meningkatkan kadar pelepasan dopamine
di otak.

2. Berada dalam keadaan tenang. Dalam keadaan tenang, otak dapat berfikir dengan lebih mendalam.

Dalam kes ini, keadaan otak manusia yang berada dalam keadaan tenang ketika mandi menjadi punca bagaimana seseorang itu mampu melahirkan idea yang kreatif. Persekitaran bilik mandi yang santai dan bersendirian membolehkan minda bergerak bebas tanpa sebarang prasangka.

Catat Idea Secepat Mungkin

Walaupun kita kadang kala mendapat idea kreatif sewaktu sedang mandi, ada kalanya ia menjadi sia-sia kerana kita akan terus lupa akan idea tersebut tidak lama selepas mandi. Bagi mengatasi perkara ini, adalah dinasihatkan untuk kita mencatatkannya dalam buku atau menyimpan idea tersebut dalam telefon pintar sebaik sahaja selepas mandi.

Jadi, apa pendapat anda tentang perkara ini? Adakah anda sering mendapat idea yang menarik ketika mandi?

Artikel Lain Untuk Di Baca