Seakan Dunia Mahu Kiamat, Fenomena Hamburan Rayleigh Punca Langit Jambi Bertukar Merah

Keadaan langit di Jambi menjadi merah sejak hari sabtu bersamaan 21 September 2019 pada jam 11.00 pagi waktu tempatan.

“Sudah sebulan asap pekat terus-terusan mengintai kami. Bahkan kami sudah tidak pernah mengisap udara segar lagi,” kata seorang warga Muara Sabak, Tanjung Jabung Timur, Budi, ketika dihubungi oleh IDN Times hari ini.

Jelasnya lagi, keadaan langit akan menjadi semakin menguning dan pekat sekiranya menjelang waktu senja. Hal ini menyukarkan penduduk untuk melaksanakan tugasan harian mereka khususnya bagi yang bekerja.

Tambahan lagi, mereka kini mengalami kehabisan stok air bersih berikutan perigi yang menjadi sumber utama penduduk itu sudah tidak menghasilkan air lagi. Oleh itu, mereka terpaksa menggali tanah bagi mendapatkan mata air yang tersisa.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, fenomena langit berwarna merah ini dikenali sebagai Hamburan Rayleigh yang berlaku akibat pergerakan jerebu daripada titik panas.

Ahli astronomi Indonesia, Marufin sudibyo turut menjelaskan bahawa kejadian ini bukan disebabkan oleh peningkatan suhu yang luar biasa tetapi fenomena Hamburan Rayleigh.

Hal ini dikatakan demikian kerana berlaku penyerakan cahaya matahari oleh asap, habuk atau zarah yang menapis cahaya gelombang pendek dan melepaskan cahaya gelombang panjang menyebabkan keadaan menjadi malap dan kemerahan.

Selain itu, kepadatan partikel-partikel mikro dan nano dalam udara lebih tinggi berbanding kepadatan partikel udara normal mengakibatkan warna langit tidak menjadi seperti biasanya.

Walau bagaimanapun, fenomena ini dikatakan tidak memberi gangguan kepada penglihatan manusia namun sedikit sebanyak boleh menyebabkan mata menjadi sakit kerana jumlah kepadatan partikel-partikel mikro atau nano yang sangat tinggi.

Menurut laporan Awani, kejadian ini pernah berlaku sebelumnya di Indonesia sewaktu letupan gunung berapi Krakatau dan Pinatubo.

Semoga keadaan langit warga Jambi kembali cerah dan bersih seperti sediakala.

Artikel Lain Untuk Di Baca