“Saya Yang Minta Putus”, Pertunangan Hafreez Adam Dan Zara Zya Akhirnya Terlerai

Perasaan kecewa yang menggunung membuatkan pelakon terkenal tanah air, Hafreez Adam nekad mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan yang terjalin bersama Zara Zya pada Oktober lalu.

Menurut Hafreez, dia dan Zara sebelum ini pernah beberapa kali cuba untuk menyelamatkan pertunangan mereka sebelum akhirnya membuat keputusan untuk meletakkan titik noktah pada ikatan itu.

“Ya, betul. Kami dah putus tunang. Kami dah cuba selamatkan hubungan ini tetapi nampaknya, ia tidak boleh diselamatkan lagi,” kata Hafreez yang berusia 29 tahun itu.

“Sebab itulah keputusan untuk berpisah ini dibuat dan bagi saya, ia dibuat secara matang. Kami tak bergaduh pun dan saya akui, keputusan tersebut datang daripada saya. Saya yang memilih untuk take time off,” ujarnya.

Untuk rekod, Hafreez dan Zara yang mula berkenalan semasa bergadingan dalam drama berjudul Monalisa pada tahun 2017 itu bertunang pada 12 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Hafreez mengakui yang masih ada rasa sayang di dalam hatinya terhadap Zara namun dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak meneruskan hubungan mereka.

“Benda ini terlalu baru. Sayang terhadap Zara itu masih ada cuma pada masa yang sama, kecewa, ralat itu semua ada,” luah Hafreez.

“Cuma saya tak mahu berfikiran negatif jadi saya anggap mungkin Tuhan nak saya ada dengan keluarga ketika ini.”

“Saya akui memang Zara pernah cakap dengan saya kalau boleh dia tak nak putus tunang. Tapi untuk saya sangat susah.”

“Buat masa ini, lebih baik saya fokus kepada ahli keluarga dan kerjaya sahaja. Lagi pula, ayah baru meninggal dunia beberapa bulan yang lalu.”

Memetik laporan mStar, Hafreez tidak menolak sekiranya ditakdirkan jodoh bersama Zara bertaut kembali. Malah, dia juga tiada masalah untuk meneruskan hubungan sebagai kawan dengan aktres berusia 34 tahun itu.

“Kita tak tahu apa yang akan jadi kelak. Kalau ditakdirkan ada jodoh, adalah. Kalau tak ada tidak mengapa, kami kekal sebagai kawan. Saya cuma doakan yang terbaik untuk Zara.”

“Soal punca jadi begini (putus tunang) biarlah kami sahaja yang tahu,” ujarnya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca