“Saya Tidak Mahu Mati”, Mangsa Rogol Ini Rayu Nyawa Diselamatkan Supaya Dapat Tengok Perogol Dihukum

“Selamatkan saya. Saya tidak mahu mati. Saya ingin melihat mereka dihukum mati,” demikianlah kata-kata terakhir seorang wanita muda yang dibakar hidup-hidup ketika dalam perjalanan ke sebuah mahkamah bagi menghadiri perbicaraan kes rogolnya.

Walau bagaimanapun, wanita berusia 23 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 11.40 malam di Hospital Safdarjung, New Delhi pada Khamis lalu selepas menderita lecuran hampir 90 peratus pada tubuhnya. Difahamkan, mangsa juga mengalami kerosakan paru-paru ekoran daripada insiden berkenaan.

“Meskipun berada dalam kesakitan yang teramat, wanita itu merayu agar kami menyelamatkannya supaya dia dapat melihat sendiri perogolnya dihukum mati,” ujar doktor yang merawatnya.

Menurut laporan, mangsa dikatakan telah diseret ke sebuah kawasan terpencil oleh lima orang lelaki termasuk dua daripadanya sudah dikenal pasti sebagai perogolnya sebelum dibakar hidup-hidup.

Difahamkan, wanita berkenaan kemudiannya berjalan ke sebuah kampung berdekatan dalam keadaan dirinya masih terbakar demi mendapatkan bantuan. Lebih memeranjatkan apabila dia sendiri yang menelefon pihak polis bagi melaporkan jenayah yang menimpanya.

Selepas dipindahkan ke New Delhi dari sebuah hospital di Lucknow, wanita berkenaan sempat memberi keterangan lengkap kepada pihak berkuasa mengenai kejadian berkenaan.

“Mereka mengepung dan memukul kedua-dua belah kaki saya. Saya turut ditikam di leher sebelum mereka memandikan saya dengan petrol dan membakar saya,” ujarnya.

Menerusi dokumen pihak polis, mangsa membuat laporan mengenai kejadian rogol yang berlaku kepada dirinya pada Mac lalu di daerah Unnao. Kedua-dua suspek sudah diberkas tidak lama selepas itu. Walau bagaimanapun, mereka dibebaskan oleh mahkamah selepas berjaya membayar wang jaminan yang ditetapkan.

Difahamkan, kejadian rogol dan bakar itu adalah yang kedua berlaku pada minggu lalu selepas seorang doktor haiwan dibunuh sebelum mayatnya dibakar di Hyderabad. Ekoran daripada insiden kejam terbabit, satu tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di New Delhi dan beberapa bandar lain.

India kini sudah disenaraikan sebagai negara paling bahaya di dunia buat kaum wanita. Mengikut data kerajaan, terdapat lebih daripada 33,000 kes rogol dilaporkan di India pada tahun 2017 dan 2018.

Dilaporkan, mahkamah hanya berjaya menyelesaikan seanyak 18,300 kes rogol pada tahun 2017, manakala 127,800 yang lain masih berstatus tertangguh.

Antara kes rogol yang menggemparkan India adalah Aruna Shanbaug, 26, yang menjadi mangsa jenayah seksual kejam di mana dia diliwat dan dirogol oleh seorang atendan hospital di Mumbai pada tahun 1973. Mangsa dilaporkan koma lebih 40 tahun selepas dicekik dengan rantai anjing sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada taun 2015.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca