Segelintir pihak mendakwa bahawa kerjaya anak seni membuatkan pengikut leka dan meninggalkan ibadat. Penyanyi muda terkenal, Haqiem Rusli mengeluarkan satu kenyataan dengan niat untuk memperbetulkan persepsi sesetengah pihak. Menurutnya, beliau memilih penyanyi sebagai karier dengan niat untuk membantu keluarga.
“Perkara ini timbul selepas saya membaca artikel mengenai halal atau haram kerjaya sebagai penyanyi, iaitu yang menjadikan bidang seni sebagai sumber pendapatan sehingga dikatakan melalaikan segelintir pihak,” kata Haqiem.
“Saya jadi penyanyi kerana mahu membantu keluarga dan mahu orang gembira mendengar lagu saya.”
“Bukanlah saya mahu menidakkan dakwaan pihak terbabit, cuma saya mahu menjalankan tanggungjawab untuk mengingatkan peminat agar tidak leka,” ujar Haqiem.
Haqiem menasihatkan agar peminat tidak lalai apabila mendengar lagu-lagunya atau meninggalkan ibadat kerana bergegas pergi ke sesuatu konsert.
Pada masa yang sama, Haqiem juga mengingatkan para peminatnya supaya tidak terlalu ‘memuja’ dirinya kerana beliau hanya sekadar insan biasa.
Walaupun perkongsian Haqiem itu tidak mampu memberi kesedaran kepada semua pihak, beliau berharap agar ia sedikit sebanyak dapat membuka mata kelompok kecil.
“Saya tidak mahu disoal di akhirat nanti. Apa yang dikongsi boleh diamalkan semua orang, bukan peminat saya sahaja, sebaliknya semua penggemar muzik tempatan,” kata Haqiem.
“Perkongsian itu bersifat positif dan saya mewakili semua artis berhubung isu ini,” tambahnya lagi.
Apabila ditanya tentang perkembangan kerjaya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Tergantung Sepi itu bakal tampil dengan single terbaharu yang berentak balada dan berkisar tentang kisah benar dalam hubungan ayah dan anak.
“Ia adalah lagu nasihat yang diadaptasi daripada kisah yang pernah tular di laman sosial. Saya bukan hendak perli sesiapa, sebaliknya mahu mengingatkan mereka yang terleka hingga mengabaikan ibu atau bapa.”
“Jika single balada sebelum ini mengangkat elemen cinta, saya tampilkan kelainan kali ini. Tidak sabar hendak menantikan penerimaan orang ramai,” katanya.