“Saya Tak Rasa Sama Pun”, Mizan Bingung Disamakan Dengan Aiman Tino

Penyayi baharu yang mula menempa nama dalam industri hiburan, Mizan langsung tidak kisah dikatakan menumpang populariti bapanya yang juga merupakan penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Harry Khalifah apabila turut mengorak langkah dalam bidang seni.

Mizan atau nama sebenarnya, Ahmad Hamizan Ahmad Sairi Haslan memang tidak menafikan yang populariti bapanya sedikit sebanyak membantu kemunculan awalnya dalam industri.

“Saya tidak kisah dikatakan menumpang populariti ayah. Saya tidak boleh lari daripada kenyataan itu kerana ayah memang dikenali ramai.”

“Namun, sebagai penyanyi baharu, saya juga mahu dikenali atas kekuatan bakat dan keistimewaan diri. Terpulang apa orang mahu cakap kerana percubaan saya dalam bidang seni turut mendapat sokongan padu ayah,” katanya.

Mizan yang mula mencipta nama menerusi lagu berjudul Ayah Ibu itu semakin mendapat perhatian para peminat selepas muncul dengan single kedua berjudul Keluhan Hati.

Dalam tempoh tiga bulan sahaja lagu itu dimuat naik di laman YouTube, ia berjaya mencatat jumlah tontonan hampir tiga juta.

“Saya tidak menyangka, malah terkejut apabila lagu yang dirakamkan mendapat sambutan baik. Memandangkan usia pembabitan saya masih hijau, sokongan diberikan membuatkan saya semakin bersemangat untuk memperkenalkan lagi bakat.”

“Ada yang menganggap saya dan bapa sedang berlumba-lumba menguasai carta tontonan di YouTube. Tidak pernah saya bayangkan ia akan berlaku, tambahan pula bapa sudah mempunyai nama yang kukuh dalam industri hiburan,” katanya.

Mizan yang kini makin dikenali ramai bagaimanapun berharap agar kemunculannya tidak disamakan dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino. Menurut Mizan, dia dan Aiman masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri.

“Ada yang berkata, suara saya seperti Aiman, tetapi sebenarnya tidak. Namun, saya tidak dapat menghalang orang ramai daripada berfikiran sedemikian kerana setiap individu mempunyai pandangan tersendiri.”

“Mungkin persamaan itu dilihat kerana genre muzik yang kami perjuangkan hampir sama. Tetapi, saya tidak mengalah kerana mempunyai banyak masa membuktikan kemampuan, memandangkan perjalanan seni saya baru bermula,” ujarnya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca