“Saya Tak Percaya Kita Kena Ada DBP Untuk Memartabatkan Bahasa Melayu.”

Saya mengenali individu ini sekitar tahun 2013-2014. Saya ingat lagi, pada waktu itu saya berada di Jengka untuk siri jelajah buku di UiTM Jengka selama 3 hari. Suatu petang, sedang saya leka melayan pengunjung yang singgah ke reruai buku, saya menerima satu kiriman e-mel daripada wakil Ekuinas yang ingin mengaturkan satu perjumpaan santai untuk mengenali Lejen dan penerbitannya dengan lebih dekat.

Pada pertemuan yang diatur di pejabat Lejen beberapa hari kemudian, saya bertanyakan wakil Ekuinas yang hadir, “Macam mana kenal dan tahu pasal Lejen?”

“Oh! Bos saya, En. Hizwani Hassan. Dia gila buku. Sangat suka baca buku. Dia yang hantar saya ke mari.”

“Dia baca buku Lejen ke?”

“Itu saya tak pasti. Tapi dia ada beritahu yang dia selalu nampak banyak kereta ada pelekat I AM LEJEN pada cermin belakang kereta. Jadi, dia teringin nak kenal siapa dan apa Lejen ni.”

“Oh macam tu.”

Sejak dari itu, selepas perjumpaan demi perjumpaan, saya, Lejen dan En. Hizwani semakin rapat sebagai ‘rakan buku’ dan Lejen pernah bekerjasama dengan Ekuinas & Borders dalam salah satu program Iltizam untuk sesi bedah buku ‘Ostrolia Aku Datang!

Biasa kita baca temubual dan tips daripada para penulis kan? Kali ini kita sembang pula dengan pembaca, dan pembaca yang seorang ini tahap pembacaannya adalah level otai. Bukan biasa-biasa.

Ikuti temubual yang dikendalikan oleh pelajar pelatih, Mariah dan Hani ini:

1. Apa pendapat Encik Hizwani mengenai Lejen?

Empat tahun berkenalan dengan Aisa Linglung, banyak maklumat yang saya tahu. Saya cukup kagum dengan kebijaksanaan Aisa Linglung berfikir tentang perniagaan sejak dia mula-mula bertapak dalam penerbitan buku alternatif ini lagi. Walaupun sesetengah tajuk novel Lejen agak kontroversi, tetapi cerita yang ingin disampaikan itu ada pengajarannya. Biasalah, nama pun marketing.

Bab harga pula sangat berbaloi dan menyenangkan pembeli lebih-lebh lagi bila adanya promosi. Cara ini sangat berkesan dalam menerapkan sikap membaca dalam masyarakat. Bahkan saya telah memilih satu novel terbitan Lejen untuk program menyemai budaya membaca. Novel yang dipilih adalah Ostrolia Aku Datang kerana tajuknya yang kurang kontroversi dan mengandungi banyak pengajaran serta ilmu didalamnya.

2. Melihatkan dari peningkatan buku alternatif sekarang, mampukah Lejen Press berdiri setanding dengan penerbitan buku mainstream?

Secara personalnya, saya mengharapkan Lejen Press punyai pelapis yang bagus kerana apabila semakin berkembangnya sesebuah syarikat itu, Aisa Linglung perlu lebih fokus mengenai strategi dan cara hendak mengembangkan pasaran dan meletakkan tugasan hanya pada pekerja tetapi mestilah sentiasa dalam pemantauan dan pemerhatian. Untuk bersaing, Aisa harus berfikir macam mana nak mengekalkan lagi minat pembaca yang mula masuk ke fasa umur yang seterusnya atau mungkin menerbitkan buku yang boleh dimanfaatkan oleh kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Lejen Press juga boleh cuba untuk memperbanyakkan lagi sub-company seperti yang sedia ada sekarang iaitu Lejen Komik. Lain pasaran lain brand nya. Ini antara cara saingan yang sihat.

3. Setiap buku yang dipilih sebagai bahan bacaan, Encik Hizwani mengambil kira aspek yang bagaimana? Dari segi bahasa ke? Gaya penulisan? Atau cerita itu bermanfaat ataupun
tidak?

Saya sangat suka membaca. Di mana sahaja, pasti buku menjadi peneman setia saya. Kalau diletakkan dalam penjara sekalipun, saya okay, asalkan ada buku – nak beritahu betapa saya minat membaca. Pemilihan buku biasanya saya tengok dari segi cover buku yang menarik, sinopsis yang bagus, manfaat yang saya akan perolehi dan review atau pendapat dari pembaca yang lain. Lejen punya cover novel tidak skema dan cukup menimbulkan rasa ingin tahu untuk membaca buku itu. Tetapi masalah saya, saya jarang ingat tajuk buku, penulis dan nama-nama watak yang ada dalam buku itu. Saya membaca hanya untuk memahami isi cerita, bukan untuk mengkaji keindahan bahasa.

4. Apakah langkah yang dirasakan efisyen untuk mengembangkan bahasa Melayu ke arah yang lebih meluas?

Nak kembangkan bahasa Melayu simple je, kita kena guna! Itu je. Kita sendiri kena bangga dengan bahasa tu. Saya tak percaya pada kempen. Kalau nak buat, buat! Nak hidupkan bahasa, kena dengan kehendak orang yang menggunakannya. Saya tak percaya kita kena ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memartabatkan bahasa Melayu. Ia kena datang dari tauladan. Jadi kita tak boleh paksa seseorang itu untuk cakap bahasa Melayu. Kalau suatu hari nanti bahasa itu tak wujud lagi, nasiblah!

5. Sudah banyak cara yang diambil oleh kerajaan bagi memartabatkan lagi bahasa Melayu, tetapi semua ini tidak akan menjadi kalau hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha. Apa sebenarnya peranan masyarakat itu sendiri dalam menjaga bahasa kebangsaan?

Saya rasa, pertama kita kena ada mindset yang bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, jadi kita kena buat. Kedua, jangan kata yang bahasa Inggeris bahasa penjajah. Dan ketiga, kalau boleh kita kena juga belajar bahasa ke-3. Siapa yang berkuasa sebenarnya? Realitinya, orang yang guna bahasa kita lebih berkuasa sebab dia mampu faham kita. Belajar bahasa bukan semata-mata belajar, tetapi kita sedang memahami, menghayati bahasa dan belajar tentang budaya. Bila kita dah tahu budaya seseorang, mindset kita akan berubah. Kita akan lebih peka dan lebih sensitif.

6. Kerajaan sekarang giat mengusahakan penguasaan bahasa Inggeris untuk pelajar di semua peringkat tanpa mengetepikan bahasa Melayu. Tetapi bila sudah kerap diajar bahasa Inggeris dan pelajar mula selesa, lambat laun bahasa Melayu hanya akan digunakan sebagai perbualan sosial sahaja. Apa pendapat Encik Hizwani?

Boleh buat apa sahaja, asalkan tidak ada politik. Bila dipolitikkan, susah sikit. Untuk hidup global, kena tahu banyak bahasa.

7. Apa nasihat untuk anak-anak muda yang bangkit dengan semangat dan visi untuk mengangkat nilai bahasa Melayu tetapi diperlekehkan oleh sebahagian masyarakat?

Untuk buat sesuatu yang berbeza dan bukan skema, caranya, buat keduanya serentak. Nak jadi penulis, tidak semestinya kena jadi penulis sepenuh masa. Pelbagaikan kerja tetapi kena kerja keras lah! Semangat kena ada. Macam orang berniaga jugak. Saya tak pernah jumpa orang yang berjaya dalam bisnes, mula dengan senang.

8. Apa pendapat tuan tentang ura-ura yang mengatakan buku alternatif ini menjadikan penggunaan dan kepentingan bahasa Melayu semakin rosak dan ditelan arus kemodenan melalui kandungannya yang tidak ditapis?

Pada saya, penerbit seperti Lejen memainkan peranan dari segi tanggungjawabnya kepada masyarakat. Dia ada dua tanggungjawab, 1. Nak bagi orang banyak membaca. It is okay. 2. Tanggungjawab di mana kena jaga apa yang dikeluarkan. Tetapi sebenarnya, itu menggambarkan realiti hidup. Tiada orang yang bercakap bahasa baku sepenuhnya. Tak logik kalau kita terlalu rigid. Berbalik pada 1000 tahun dulu, adakah bahasa yang kita guna sekarang proper atau sama dengan 1000 tahun dulu? Jadi, kita kena belajar. Bagi saya, adat penting tetapi jangan semata-mata mempertahankan adat. Kebanyakan orang yang mempertahankan adat ini, sebenarnya dia tidak mahu berubah, dan takut untuk berubah. Jadi dia pun tidak akan berubah. Kita perlu berubah asalkan kita masih beradap. Jadi ini yang perlu Lejen amati betul-betul. Jangan lupa pada norma masyarakat!

9. Sekolah Vernakular telah pun diwujudkan. Bukankah bahasa akan jadi makin terasing antara satu sama lain?

Malaysia adalah negara majmuk, terpulang pada kita macam mana nak hidupkan bahasa masing-masing. Kena mula dengan diri kita sendiri. Kalau kita tak guna bahasa kita, macam mana kita expect orang lain untuk guna?

10. Sepatah dua kata sebagai penutup bicara.

Lejen Press merupakan lambang kematangan Aisa Linglung dan berharap Lejen dapat mengekalkan budaya indie walaupun telah membesar dan terkenal. Lejen Press boleh ubah struktur, ubah saiz pasaran tetapi tidak pada soul indie itu sendiri.

Artikel Lain Untuk Di Baca