“Saya Seorang Yang Sakit”, Ini Kisah Joe Metheny Yang Tukar Mayat Mangsanya Menjadi Burger

Apabila pihak polis menahan Joe Metheny pada Disember 1996, mereka mengagak bahawa satu pergelutan akan berlaku ekoran saiz lelaki berkenaan yang besar dan tegap.

Namun begitu, Joe melakukan perkara yang sebaliknya apabila dia mula menceritakan jenayah yang dilakukannya dengan sangat terperinci. Malah, lelaki itu turut memberi amaran kepada pihak polis bahawa dirinya adalah seseorang yang sakit dan kisahnya mampu membuatkan manusia biasa tidak senang duduk.

Kerana dendam

Semasa sesi soal siasat, Joe Roy Metheny menceritakan motif utama dia merogol, membunuh dan mengerat mangsa-mansanya adalah kerana perasaan dendam terhadap isterinya yang telah melarikan diri sambil membawa anak mereka.

Joe mula melakukan pembunuhan pertamanya dua tahun sebelum dia ditahan polis yakni pada tahun 1994.

Sepanjang misi mencari isteri dan anaknya, Joe telah membunuh dua orang penagih dadah dan seorang nelayan. Namun begitu, mayat mereka yang dibuang ke dalam sungai telah mengakibatkan Joe ditahan polis tidak lama kemudian.

Joe Metheny menghabiskan masa setahun setengah di dalam penjara sebelum dia dibebaskan akibat kekurangan bukti.

Meskipun pernah dipenjarakan, ia tidak membantutkan misi mencari dan aktiviti pembunuhan rambangnya.

Cara baru melupuskan mayat

Tidak lama selepas dia dibebaskan dari penjara, Joe Metheny mengganas lagi dengan membunuh dua orang pelacur. Dek kerana sudah mendapat pengajaran di lokap, Joe mula menggunakan cara lain untuk menghapuskan mayat mangsanya.

Mayat-mayat pelacur tadi tidak segera dibuang ke dalam sungai tetapi dibawa pulang untuk dilapah dan dicampurkan dengan daging babi.

Joe Metheny kemudiannya menghabiskan masanya dengan menjual burger daging manusia dan babi itu di sebuah kedai tepi jalan yang dibinanya sendiri.

Joe memberitahu pihak polis ketika dia ditahan bahawa dia tidak pernah menerima walau satupun aduan mengenai rasa daging burgernya.

“Daging manusia mempunyai rasa yang sama dengan daging babi. Oleh itu, jika keduanya dicampurkan, tiada siapa yang dapat mengenal pasti perbezaannya,” ujar Joe.

Lama-kelamaan, lelaki itu telah menjadikan perniagaan burger itu sebagai sebahagian daripada sumber pendapatan hariannya. Sekiranya permintaan pelanggan semakin tinggi, Joe akan membunuh lagi demi memastikan gerai burgernya maju.

Dalam sesi soal siasat, Joe Metheny mengaku telah menyebabkan kematian hampir 10 orang dan pihak berkuasa percaya dia akan membunuh lagi sekiranya tidak ditahan.

Pengakhiran Joe Metheny

Joe Metheny akhirnya diberkas pada tahun 1996 apabila seorang mangsanya berjaya melarikan diri dan melaporkan jenayah lelaki terbabit kepada pihak polis.

Menurut pegawai polis yang menyoal siasat Joe, dia berkata lelaki berkenaan sedikit pun tidak berasa menunjukkan sebarang kekesalan atas jenayahnya.

“Satu-satunya perkara yang saya kesali adalah saya tidak dapat membunuh dua manusia tidak berguna iaitu isteri dan anak saya,” ujar Joe.

Sebagai pengakhiran kisah jenayahnya, Joe sempat berpesan kepada pihak polis dan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati apabila hendak memberi burger di tepi jalan.

“Jika anda pernah melihat gerai burger yang tiba-tiba wujud di sebuah kawasan, pastikan anda mengingati kisah saya ini sebelum anda menjamah burger itu.”

Joe Metheny akhirnya didapati bersalah atas segala pertuduhan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di dalam penjara pada usia 62 tahun.

Artikel Lain Untuk Di Baca