“Saya Minta Maaf Pada Semua, Dari Hujung Rambut Hingga Hujung Kaki.” – Ebit Lew

Pendakwah bebas terkenal iaitu Ustaz Ebit Lew tampil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu Pak Ishak dan keluarga termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Munurut Ustaz Ebit, bantuan yang diberikan hanya sedikit jika hendak dibandingan dengan pihak yang sudah dari dahulu berusaha untuk mengubah kehidupan Pak Ishak.

Ustaz Ebit memuat naik satu hantaran di Facebook peribadinya dan menyatakan ucapan terima kasih serta mohon maaf atas kekurangan dirinya.

“Terima kasih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang selama ini membantu keluarga ini dengan memberi bantuan. Terima kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Terima kasih jiran lama keluarga Pak Aq yang baik banyak membantu mereka. Mereka selalu membantu menghantar makanan dan lain-lain. Terima kasih Pihak Masjid Kariah yang ambil berat hal mereka. Terima kasih kerajaan negeri Kedah yang membantu mereka selama ini.

“Saya minta maaf pada semua ya. Mereka semua dah bantu banyak sangat. Setitik sahaja usaha saya berbanding mereka semua. Saya urus cuma beberapa orang dah menangis penat. Mereka semua urus seluruh negeri dan setiap pelusuk negeri sepanjang hayat. Saya cuma sikit sangat. Saya pohon janganlah salahkan jiran, JKM atau pusat zakat atau mana-mana orang.

“Saya salah saya minta maaf. Dari hujung rambut sampai hujung kaki pada JKM, LZNK, kejiranan lama Pak Aq dan semua ya. Saya pohon ampun ya. Benar-benar minta ampun pada semua. 

“Saya cuma ingin kasih sayang buat mereka. Saya cuma tak boleh tahan mereka duduk situ. Sedih sangat menangis saya. Saya sayang semua. Saya sayang anak-anak dan pakcik makcik tu mereka baik sangat dari mula sampai saya nak balik tadi. Maaflah ya. Saya salah saya minta maaf. Saya tak buat apa pun. Terima kasih semua ya. Semua orang baik. Saya salah saya minta maaf,” tulisnya dalam hantarannya di Facebook itu.

Pada masa yang sama, Ustaz Ebit turut melahirkan rasa syukur kerana keluarga Pak Ishak sudah berpindah ke tempat yang lebih selesa selepas 15 tahun.

Ustaz Ebit turut menyatakan urusan keluarga itu telah diserahkan kepada pihak berwajib untuk menguruskannya.

“Syukur tadi setelah lebih 15 tahun keluarga ini buat kali pertama dapat pindah dari pondok usang dan menyedihkan. Saya dapat beri hadiah kasih sayang saya buat keluarga ini. Dapat beri mereka rumah baru selesa dan tak perlu bayar. Saya akan bayar InsyaAllah selagi ada hayat. 

“Belikan peti ais, mesin basuh, rice cooker, cerek, dapur gas, kipas, tilam, baju raya, bantal, semualah peralatan rumah. Hanya setitik usaha saya ini dibandingkan usaha mereka sepanjang tahun dan seluruh negeri Kedah. 15 tahun kasihan keluarga ini. Selepas ini saya serahkan pada pihak berwajib.

“Saya merayu jangan hina keluarga ini. Ujian mereka. Ujian kita. Kita sebuah keluarga. Mereka pakcik tua makcik tua macam mak ayah kita. Anak mereka macam adik beradik dan anak kita. Kasihanilah mereka 15 tahun hidup begitu. Bantulah mereka. Sayangi mereka.

“Terima kasih dengan bantuan kejiranan baru yang baik tadi. Mereka beramai bawa mesin rumput. Bawa katil. Kami bincang aturkan anak sekolah. Aturkan rawatan kesihatan Pak Ishak dan isteri yang perlu rawatan mingguan. Ada guru mengaji. Kelas di surau selepas PKP. 

“Terima kasih penduduk taman dan jiran baru yang sangat positif dan membantu. Terima kasih ya. Tanpa tuan puan saya tak mampu buat apa-apa pun. Tadi dapat bantu anak-anak ini sama-sama gotong royong. Seronok didik macam keluarga sendiri,” tulisnya lagi.

Terdahulu, Ebit sanggup pergi ke Alor Setar, Kedah walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan demi menghulurkan pertolongan kepada keluarga seorang lelaki uzur yang menghidap penyakit angin ahmar.

Walau bagaimanapun, perkongsian tersebut telah menimbulkan kecaman dan rasa kurang senang daripada beberapa pihak.

Oleh itu, Ustaz Ebit dengan rasa rendah diri tampil memohon maaf kepada semua dan tidak berniat untuk menyakitkan hati sesiapa.

Usaha murni yang dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew ini harus dijadikan contoh dan tauladan untuk semua dan ia boleh mempengaruhi orang ramai untuk turut membantu pihak yang memerlukan. Tidak sepatutnya kita memandang apa yang diusahakan oleh Ustaz Ebit dengan pandangan yang negatif, tetapi pandanglah dari sudut yang positif.

Semoga Ustaz Ebit sentiasa diberikan kekuatan untuk terus berbakti kepada golongan yang kurang berkemampuan dan yang memerlukan.

Untuk baca artikel lain berkenaan bantuan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca