Penyerang Manchester City, Raheem Sterling dan pengurusnya, Pep Guardiola langsung tidak berminat untuk menonton perlawanan seteru utama mereka, Liverpool menentang Chelsea sejurus pasukan mereka merakam kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace di Selhurst Park, malam tadi. Dengan dua jaringan tersebut, Sterling kini telah menjaringkan 17 gol pada musim ini.

Dalam perlawanan tersebut, bekas pemain Liverpool itu menjaringkan 2 gol sebelum Gabriel Jesus melengkapkan kemenangan Manchester City dengan gol ketiga pada hujung saingan setelah Luka Milivojevic merapatkan kedudukan untuk Crystal Palace pada minit yang ke-81.

Wartawan bertanya kepada Sterling dan Guardiola sama ada mereka akan menonton perlawanan seteru mereka itu yang berlangsung 2 jam setelah mereka melakar kemenangan dan kembali gah ke persada liga.

“Saya lapar, saya perlu makan, tengoklah apa yang terjadi nanti,” kata  Sterling kepada Sky Sports.

Pengendali Manchester City pula bercadang menonton siaran langsung Golf Masters yang menyaksikan Francesco Molinari dan Tiger Woods sedang berentap dalam pusingan terakhir di Augusta ketika itu.

“Tiger Woods dan Molinari sedang beraksi, mungkin saya akan menonton aksi mereka berdua. Harapnya Chelsea dapat melakukan tugasan terbaik mereka,” kata Guardiola.

City bakal berdepan dengan Tottenham di suku akhir kedua Liga Juara-Juara Rabu ini. Kedua-dua pasukan ini akan bertemu sekali lagi di peringkat liga 3 hari selepas itu.

Bercakap tentang pertemuan suku akhir tersebut, bekas pengendali Barcelona itu mengakui bahawa pasukannya tidak kebal setelah tewas 0-1 dalam perlawanan pertama di gelanggang baharu Spurs. Pada masa yang sama, Guardiola menegaskan bahawa pasukannya akan memastikan bahawa mereka menang semua baki 5 perlawanan peringkat liga.

“Sudah pasti kami boleh tercicir. Kami bukan pasukan kebal. Kami juga ada kelemahan. Kami perlu menang semua baki perlawanan. Kami jangka Liverpool akan menang semua baki perlawanan mereka.”

“Kami akan cuba menang 5 baki perlawanan. Itu sudah pasti, tetapi ia perlawanan yang sukar. Melawan Tottenham di tempat sendiri, Manchester United di gelanggang mereka, Burnley di gelanggang mereka, Leicester City di Etihad, Brighton and Hove Albion di tempat mereka, tetapi nasib kami akan ditentukan dengan prestasi kami sendiri,” katanya.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Sportstar