“Saya Kejar Sambil Menangis”, Lelaki Ini Tahan Sebak Kongsi Momen Hitam

saya-kejar-sambil-menangis-lelaki-ini-tahan-sebak-kongsi-momen-hitam

Baru-baru ini, sebuah video yang memaparkan seorang mangsa ragut berkongsi momen tentang dia kehilangan rantai emas pemberian kakaknya telah menyentuh hati ramai pengguna Twitter.

Sikap lelaki yang dianggap memiliki hati emas itu menyebabkan ramai menyatakan rasa kagum kepadanya kerana bersangka baik dengan peragut tersebut, malah sanggup menawarkan wang berjumlah RM500 jika rantai emas dikembalikan semula.

Menurut pemilik bengkel motosikal di Taman Setia Rawang itu, rantai leher tersebut mempunyai nilai sentimental kerana ia diberi ketika kakaknya ingin melangkah keluar dari rumah selepas melangsungkan perkahwinan.

“Bangsa saya tidak mahu cakap kerana dia anak Malaysia Saya pun anak Malaysia. Saya tak nak cakap pasal bangsa dalam video ini. Rider belakang saya pun nampak dan kami cuba untuk kejar pelaku tersebut. Saya kejar dia sambil menangis tetapi tidak mampu. Motosikal dia laju dan ketika itu saya bawa Honda EX5.

“Selepas itu, saya jumpa satu kedai di lokasi berdekatan ada CCTV (rakaman televisyen litar tertutup). Tapi saya tidak mahu siarkan kepada umum. Orangnya tidak kelihatan tetapi motosikal dan beg Grab nampak melalui CCTV tersebut,” katanya dalam tiga siri video yang dimuat naik pemilik akaun Twitter bernama @Rudyakhbar.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11:20 pagi kelmarin ketika dia menghubungi seorang pelanggan dan berharap video yang telah diulang kicau lebih 28,000 kali tersebut tular hingga sampai kepada ‘rider’ berkenaan.

Sumber: Twitter (@rudyakhbar_)

“Memang saya rasa marah tetapi saya fikir mungkin situasi dia susah sebab musim pandemik ini. Semua orang susah dan pendapatan pun kurang. Jadi kalau awak susah saya boleh tolong bayar RM500, cuma bagi balik rantai itu.

“Awak boleh datang ke bengkel saya. Kedai saya tiada CCTV, jangan risau. Awak boleh tinggalkan di sini dan beri nombor akaun. Walau apa-apa situasi jangan lakukan kegiatan samun. Saya mahu awak insaf dan menyesal,” ujarnya.

Lelaki itu turut memberitahu bahawa dia tidak pernah mengibarkan bendera sama ada di rumah atau kedai, bahkan teringin untuk melakukannya sempena bulan kemerdekaan tahun ini.

“Pada musim Covid-19, saya tengok petugas barisan hadapan abang polis, jururawat, doktor, semua rasa letih termasuk saya namun saya hormat mereka. Tetapi bila jadi begini, saya rasa kita belum merdeka kerana diancam peragut dan rasa tidak bebas untuk memakai barang perhiasan,” tambahnya lagi.

Menerusi tiga siri video yang dimuat naik di laman Twitter itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet. Menjengah ke ruangan komen mendapati bahawa rata-rata warganet memuji tindakan lelaki tersebut terhadap peragut berkenaan.

Dalam pada itu, Grab Malaysia dalam satu hantaran di Twitter berkata bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca