‘Saya Juga Manusia’, Kisona Akui Terkesan Dengan Komen Berbaur Perkauman Terhadapnya

Pemain perseorangan wanita negara, Kisona Selvaduray mengakui kenyataan tidak sensitif yang bersifat perkauman terhadapnya di media sosial semasa pertandingan Piala Sudirman baru-baru ini telah mempengaruhi psikologi dan prestasinya.

Walau bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun kelahiran Seremban itu bertekad untuk menghiraukan kejadian tersebut dan fokus pada perlawanan pusingan pembukaan Piala Uber menentang tuan rumah Denmark hari ini (Sabtu) kerana dia akan mengambil peranan sebagai perseorangan pertama untuk Malaysia.

“Jelas sekali (ini mempengaruhi saya) kerana, pada akhirnya, saya juga manusia… Tapi, saya perlu mengalihkan tumpuan saya ke pertandingan yang akan datang. Jadi, saya serahkan kepada keluarga, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya selepas sesi latihan rasmi pasukan kedua di Ceres Arena pada Jumaat.

Ketika ditanya mengenai isu yang sama oleh media lain beberapa saat kemudian, Kisona menitiskan air mata.

Komen rasis terhadap Kisona di media sosial itu dibuat oleh seorang ahli politik setelah kekalahannya oleh pemain nombor lima dunia, Akane Yamaguchi, semasa pertembungan separuh akhir Piala Sudirman Malaysia-Jepun pada 2 Oktober.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann mengatakan BAM, rakan sepasukannya dan seluruh negara berada di belakang Kisona dan akan terus memberikan sokongan moral kepadanya.

“Saya percaya akan selalu ada kejadian yang tak dijangka seperti ini dalam kehidupan semua orang, tetapi saya percaya Kisona, sebagai atlet profesional, dapat mengatasinya dan belajar daripadanya,” katanya.

Menurut Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, kes ini sangat terpencil kerana secara umumnya, rakyat Malaysia menghargai pengorbanan dan sumbangan atlet kebangsaan untuk negara ini.

“Saya rasa isu sensitif dan perkauman seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sukan negara kita di bawah konsep keluarga Malaysia. Kita harus lebih menghargai usaha mereka kerana terus berani menghadapi cabaran walaupun bermain dalam keadaan pandemik COVID-19.”

Namun, membicarakan perlawanan hari ini, di mana Kisona berkemungkinan akan bertemu pemain nombor 12 dunia, Mia Blichfeldt, Kisona mengatakan bahawa dia dan rakan sepasukannya bersedia untuk bertarung hingga akhir walaupun harus menghadapi lawan dengan kedudukan yang lebih tinggi.

“Saya merasakan bahawa skuad Piala Uber kami mempunyai kekuatan yang tersendiri, cuma kurang pengalaman. Kami akan memberikan yang terbaik dan berjuang untuk kemenangan. Kami tidak berada di sini untuk kalah,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca