“Saya Ibu Yang Gagal”, Sekeping Nota Ditinggal Bersama Bayi Lelaki Di Depan Sebuah Kediaman

“Sejak lahir Yusuf belum minum setitik susu. Biarlah Yusuf tinggal dengan puan. Saya sebagai ibu yang gagal menjaga Yusuf.”

Begitulah sebahagian daripada coretan yang ditemui bersama dengan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan sebuah kediaman di Kampung Pompod dekat Kota Belud, Sabah.

Kehadiran bayu itu disedari pemilik rumah berkenaan yang berusia 33 tahun sebaik sahaja terdengar tangisan kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Difahamkan, bayi berkenaan ditinggalkan di kerusi yang terletak berhampiran tangga rumah wanita tersebut dan badannya cuma berbalut dengan kain.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, pemilik rumah yang merupakan seorang kerani itu tampil membuat laporan polis pada jam 8.57 pagi tadi.

Bayi yang ditinggalkan bersama nota yang dipercayai ditulis oleh ibu kandungnya itu juga dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud sewaktu laporan itu dibuat.

“Pengadu mendakwa, dia dan ibunya terdengar tangisan bayi sebelum keluar untuk memeriksa keadaan di luar rumah. Mereka menemui bayi terbabit dengan sekeping nota yang ditujukan kepadanya,” katanya.

“Nota berkenaan meminta wanita terbabit menjaga bayi itu dan menyatakan tarikh lahirnya pada 29 Jun 2019,” ujarnya lagi.

Bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh badannya, lapor Harian Metro.

“Pengadu mendakwa tidak mengetahui mana-mana saudara terdekat atau penduduk kampung yang baru melahirkan bayi.”

“Susulan itu, polis akan menghantar pengadu dan bayi ke Hospital Kota Belud bagi menjalani ujian DNA untuk mengenal pasti hubungan mereka,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi dan jika disabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca